Senarai Blog Saya

26 Januari 2009

Sayangi organisasi kita

i.
Prof. Dato' Dr. Mohd.Yusof Othman menceritakan dalam satu cermahnya di UKM mengenai pengalamannya ketika berseminar di Jepun. Salah satu program seminarnya ialah lawatan ke beberapa lokasi di Jepun. Semasa hendak turun pemandu pelancong memaklumkan bahawa jangkamasa melawat hanya sejam.

Sebelum sejam beliau telah tiba di bas yang membawa rombongan seminar. Prof. Yusof amat terkejut kerana pemandu pelancong dan pemandu bas sedang membersihkan bas. Ketika beliau bertanya kenapa anda perlu membuat kerja ini sedangkan bas boleh dibersihkan semasa di lokasi penamat kelak.

Mereka berdua menjawab "Ini bas yang menjadi sumber rezeki kami. Jika kotor akan merosakkan imej syarikat kami. Pelanggan tidak akan menempah lagi. Akhirnya syarikat akan kehilangan punca pendapatan. Mungkin akhirnya syarikat akan ditutup dan kami hilang tempat mencari rezeki".

Prof Yusof amat kagum dengan pendirian dua orang petugas tersebut.

ii

Seorang Pengurus Jualan yang memebekalkan barang-barang di tempat kerja saya melihat barang yang telah dibekalkan oleh syarikatnya.

Sambil melihat jumlah yang masih ada beliau berkata; "Di beberapa jabatan yang saya bekalkan barang-barang ini, ramai staffnya membawa balik untuk digunakan di rumah"

"Oh.." keluh saya.
"Ada yang bawa balik dua tiga rim kertas untuk komputer" sambung beliau lagi.
"Oh..."keluh saya lagi.
"En. Hafiz. Kalau staff Encik buat macam itu mana pula ya?"
"Boleh tutup syarikat dan muflis saya bang.......".

Saya ingin anda memikirkan dua kisah diatas. Apakah kita mahu organisasi kita kerugian dan menutup perniagaan dan kita kehilangan kerja?

Percayalah Allah akan membantu

i
Saya dan keluarga hampir saban bulan membeli barang keperluan dapur di sebuah pusat membeli belah di Putrajaya. Selesa adalah keutamaan saya disamping harganya boleh membantu menjimatkan perbelanjaan kami. Anda di sekitar Putrajaya tentu tahu tempat yang saya maksudkan.

Ingin saya berkongsi keselesaan yang patut semua pusat membeli belah fikirkan. Kemudahan tandas percumanya amat bersih mengambarkan taraf manusia yang tinggal di Putrajaya. Masuk sahaja ke situ anda akan terasa seperti berada di resort. Soal makan minum tidak menjadi apa-apa masalah.

Saya ingin memuji pihak yang menguruskan pusat membeli belah ini kerana menyediakan surau lelaki dan wanita yang selesa. Anda tidak perlu risau jikalau masuk waktu surau ini akan membolehkan anda bersolat secara berjemaah. Makmum akan bertali arus mengisi tempat solat. Pada hemat saya inilah kemudahan yang harus disediakan agar tempat membeli belah boleh meningkatkan hasil jualan. Usah kedekut dengan ruang.

Menyediakan tempat bersolat seperti yang saya timbulkan ini mungkin bukan di pusat membeli belah ini sahaja. Banyak juga saya temui namun ada yang menyediakan seperti melepaskan batuk ditangga. Saya amat yakin pelanggan, pekerja di mana-mana pusat membeli belah akan berpuashati jika perkara ini diberikan keutamaan.

ii.
Seorang pegawai sebuah bank terkenal menghadapi masalah laporan kewangannya malahan menyebabkan Bank Negara membuat pemantauan.

Pegawai Syariah bank tersebut telah mencadangkan kepada seorang pegawai atasannya membuat langkah menjaga fardu kifayah. Asalnya pada tahun kewangan itu staffnya hampir tidak diberikan bonus.
Namun dengan cadangan Pegawai Syariahnya maka bonus diberikan tetapi dengan mensyaratkan setiap staff menyedekahkan beberapa peratus untuk fakir miskin.

Hasil langkah tersebut laporan kewangan bank itu naik begitu menakjub sekali. Kini bank tersebut dapat berdiri setanding dengan bank-bank lain.

Saya menitis air mata mendengar ceramah pegawai bank tersebut ketika membentangkannya dalam satu ceramah yang saya hadiri. Maha Kaya Allah itulah balasanNya kepada hamba yang tidak melupai seruannya.

Nota: Seandainya semua hamba Allah yang menunaikan dua perkara yang saya catatkan nescaya kita tidak perlu bimbang dengan kemerosotan ekonomi yang sedang di sebut-sebutkan sejak tahun lepas (2008).

22 Januari 2009

Belajar menjadi jujur

Ketika saya keluar dari sebuah hotel terkenal di Bandar Baru Bangi dua orang peserta Bengkel Hubungan Etnik sedang berbual.Semasa bersalaman baru saya tahu mereka sedang berbincang sama ada hendak menaiki teksi atau ERL ke KLIA. Setelah membuat keputusan akhirnya mereka membuat keputusan untuk menempah teksi.

Oleh kerana saya memang ada menyimpan nombor telefon rakan-rakan pemandu teksi maka saya terus menghungi Murad. Murad merupakan pemandu teksi peribadi saya selain Selvam dan Vijay.

Malam tadi ketika menghubungi Murad kerana ingin menempahnya pada 30 Januari nanti beliau terkejut bahawa dua orang penumpangnya adalah pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.

Lebih mengharukan Murad mereka hanya mengambil resit untuk kos separuh dari yang dikenakan. Maksudnya mereka berkongsi membayar harga teksi ke KLIA dan resit juga harga itu.

Murad mengakui penumpangnya begitu jujur.

Cari peluang ketika bermasalah

Siang tadi saya bersama seorang sahabat sempat makan tengahari bersama seorang penganalisa ekonomi terkenal. Saya mengenali beliau kerana sering muncul di TV untuk mengulas topik-topik ekonomi semasa. Beliau bukan sahabat saya. Kebetulan tempat makan penuh dengan pelanggan saya mempelawa beliau duduk semeja.

Kita sedia maklum apabila penganalisa ekonomi diterjah dengan soalan berkaitan dengan keadaan ekonomi maka beliau akan berbicara dengan ramah topik itu. Perbincangan kami ringan-ringan sahaja namun masih dalam lingkungan akademik. Menariknya beliau langsung tidak membawa kami kearah berbincang topik politik. Seingat saya semasa berbual sambil-sambil makan tengahari dengan lauk ikan sama (ikan kembong masak tauchu!), tokoh tersebut langsung tidak mengutuk mana-mana individu yang terlibat dalam politik. Pada saya beliau seorang ahli ekonomi tulin.

Saya tidak mahu membawa apakah isi perbualan kami, kerana tidak mahu mensensasikannya. Namun saya ingin mengajak anda mencari peluang dalam masalah yang sedang dan akan dihadapi. Mungkin ada dikalangan anda yang akan diberhentikan kerja. Maka saya ingin membawa anda bahawa ada rahmat disebalik kejatuhan ekonomi yang mungkin berlaku.

Tidak semua orang akan selesa jika ia berlaku. Baik yang bergaji besar, kecil mahupun orang miskin atau fakir. Namun semasa kita kaya adakah orang miskin kita bantu? Kata alim ulama zakat kita bagaimana. Solat kita bagaimana. Puasa kita sempurnakah?

Apakah semua itu ada kaitan dengan jatuh miskin kita. Mungkin tidak kerana ada orang akan berkata "ahhh orang bayar zakat juga akan menerima kesan. Bersolat juga akan terima kesan".

Saya terbaca dalam sebuah buku Dr HM Tuah "usah selalu merungut susah jikalau kita bukan orang susah!".


Marilah kita mencari peluang dalam kesusahan. Kerana ketika orang sedang termenung memikirkan ekonomi akan jatuh kita bangun dan membina peluang. Apa peluangnya hanya kita sendiri akan tahu. Isteri yang tidur sebelah kita tidak tahu peluang itu kerana kemampuan itu hanya kita yang tahu.

Umpama seorang rakan saya yang berjaya menghabiskan pengajian ijazahnya di UKM dan melangkah bangga di pentas Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) biarpun ketika itu beliau telah buta akibat mengidap penyakit kencing manis. Walhal beliau tidak buta sebelum ini. Biarpun beliau kini telah arwah namun saya rasa dia berbangga semasa hayatnya kerana berjaya memegang sekeping ijazah!.
Peluang tetap ada, tercapai atau tidak itu hanya urusan Allah!

20 Januari 2009

Suatu petang di Car Wash

Saya membawa motosikal ke car wash petang tadi. Sejak-sejak akhir ini mungkin atas faktor usia dan masa, saya kurang membasuh sendiri sama ada kereta mahupun motosikal. Ketika di car wash itu saya meramahkan diri untuk berbual dengan pekerja di situ.

"Awak orang mana?"
"Bangladesh....", jawab ramah pekerja di car wash itu sambil membilas motosikal saya yang sudah tua.
"Sudah lama datang Malaysia?".
" Tiga tahun", balas Mat Bangla tu.
"Dulu kerja di mana?"
"Dulu kerja di KL. Servis aircond", jawabnya ramah dan agak fasih berbahasa Malayu.
"Kenapa sudah berhenti kerja di sana", tanya saya ingin tahu.
"Tauke mati!". Saya tergamam dengan jawapan Mat Bangla itu. Kelu juga sekejab.
"Kat sini taukeh Melayu ke?".
"Ya..., awak Melayu ka?"
"Ya....kenapa ada nampak macam Cina ka?", saya mengajukan pertanyaan begitu kerana pernah sekali di R&R Plus ada seorang nyonya menanya sesuatu dalam bahasa Cina. Saya cuma menggelengkan kepala sahaja ketika itu.
"Saya Melayu dan Muslim". Jawab saya dengan harapan untuk menghilangkan keraguan Mat Bangala itu.

Menariknya beliau memperkenalkan diri sebagai Rahim sambil memberikan salam. Itulah mnenariknya pertemuan dengan Mat Bangala di car wash itu. Saya bukan tidak pernah bertemu dengan orang-orang Bangladesh. Namun pertemuan petang ini agak menarik kerana saya belajar sesuatu tentang sikap dan budi bahasa mereka ketika bertemu orang baru sebagai pelanggan. Mereka mungkin bimbang kalau-kalau pertemuan itu akan menjadi sejarah pahit.

Saya kaitkan pertemuan itu dengan Bengkel Penilaian Pengajaran Kursus Hubungan Etnik Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dihadiri sejak semalam (19-20 Januari ). Sejak 48 jam (mengambil kata-kata Prof. Dato' Dr. Shamsul Amri), saya dapat melihat satu perbincangan yang menarik tentang hubungan etnik di Malaysia. Biarpun saya hanya hadir untuk membuat liputan fotografi namun dapat juga mendengar bagaimana hubungan etnik dikupas oleh para peserta.

Apa yang menarik ialah perbincangan mengenai hubungan etnik di Malaysia dapat dikupas begitu manarik, panas oleh semua peserta dari berbilang bangsa. Pada hemat saya suasana ini akan terjadi di masa akan datang dengan identiti sebagai Bangsa Malaysia.


Namun dari pertemuan saya dengan Mat Bangla petang ini dapat dirumuskan bangsa dunia dapat bertemu dalam satu agama tapi berlaianan etnik. Namun tetap mesra kerana dia faham bagaimana budaya orang Malaysia.

07 Januari 2009

Kemalangan berlaku bila-bila masa

Sepuluh orang yang maut dalam satu kemalangan di Gua Musang minggu lepas masih menghantui saya. Saya tidak tahulah perasaan anda. Sebab perasaan kita mungkin berbeza. Saya ingin membawa anda kisah ini untuk direnungi bersama.


Pemakaian tali pinggang keledar belakang sudah bermula tempuhnya tiga tahun untuk pemasanganya. Saya bersetuju namun ramai yang tidak. Faktor undang-undang, penguatkuasaan adalah antara yang dibincangkan untuk mengurangkan kemalangan.

Namun faktor lain harus kita bawa bersama dalam memperkatakan masalah kemalangan ini. Bagi kemalangan yang telah berlaku itu sudah takdir. Yang sudah maut, lumpuh, buta, patah anggota badan itu sudah tidak boleh diubah lagi. Bagaimana yang sedang berada dijalan raya. Apakah keinsafan sudah bermula?


Ikuti kisah-kisah di jalan raya mahupun lebuhraya yang saya catatkan untuk tatapan bersama. Ini peristiwa yang saya alami sepanjang memandu sama ada ke tempat kerja atau ke luar
daerah.


Kisah 1:
Sedang saya memandu untuk ke Segamat kelihatan deretan kenderaan mengekori sebuah kereta lain yang dipandu perlahan. Selepas kenderaan lain memotong kereta tersebut saya sudah berada dibelakangnya. Oleh kerana kereta saya jenis pacuan empat roda yang tinggi, maka dapat melihat reaksi pemandunya kenapa dia memandu dalam keadaan perlahan. Rupa-rupanya beliau sedang bercakap menggunakan telefon bimbit.


Setelah "hond" dibunyikan maka pamandu itu menyembunyikan sedikit telefonya. Namun masih bergayut. Apabila saya ada ruang untuk memotong saya memotong sambil membunyikan "hond".

Pada hemat saya, ini sikap pemandu. Kenapa harus memandu seandainya ingin menjawab panggilan yang mustahak itu. Atau jika itu panggilan paling mustahak, mungkin ada projek nak masuk berjuta ringgit kenapa tidak berhenti di tepi jalan sahaja. Seandainya anda seorang yang jenis bertaraf "seminit berharga RM1,000" kenapa tidak beli sahaja alat telinga. Bercakaplah tanpa perlu memandu sebelah tangan?

Anda perasan atau tidak kebanyakkan kereta menampal sejenis stiker disebelah pemandu dengan harapan polis tidak nampak apabila memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Fakta kes: Seorang rakan pernah mengalami kemalangan ketika menggunakan telefon bimbit.


Kisah 2:

Ketika memandu di Bandar Baru Bangi, Selangor saya terlihat seorang anak kecil mengeluarkan kepala dari celah tingkap sebelah belakang pemandu (sudah pasti ayahnya). Ketika memotong saya membunyikan "hond". Ayahnya cuma tersenyum sambil meminta anaknya meihat saya.

Akhirnya anak itu tidak lagi mengeluarkan kepala. Moral kisahnya kenapa harus membiarkan kepala anak dikeluarkan ketika berada di jalan raya. Pastikan kereta anda tidak membuka tingkat agar anak-anak tidak berkedaan demikian.

Kisah 3:
Hujan masih renyai-renyai setelah hujan turun dengan lebat sebelum ini. Saya menyusuri satu laluan UKM ke Bangi, Selangor.

Sebuah kereta "kecil" memotong dan memandu dalam keadaan laju. Saya merungut dengan isteri yang berada di sisi. "Lajunya kereta ni. Hujan macam ni bahaya jika pandu laju-laju.

Di satu selekoh tajam 3 minit kemudian saya lihat kereta tadi terbabas dan pemandu selamat sedang keluar dari kereta dengan bantuan orang.

Nah, lihatlah sikap pemandu tadi yang tidak sensitif dengan keadaan jalan yang licin. Sudah tentu kenderaan kecil tahap pertahanan untuk keselamatan pemandu dan penumpang agak terhad tidak seperti kereta mewah. Kereta mewah pun boleh berlaku kemalangan dan menyebabkan maut!

Banyak kisah yang boleh kita jadikan panduan agar tidak menyebabkan kemalangan pada kita dan orang lain. Saya percaya sikap pemandu merupakan salah satu faktor penyebab kemalangan.

Andai kereta kita kecil usahlah memandu seperti kereta besar. Kemampuan kita terhad. Saya pernah menumpang kereta seorang rakan yang berkuasa besar. Beliau memandu dari Kuantan ke Kuala Lumpur 150KM sejam. Ketika saya menjeling meter keretanya dia bertanya kenapa. Saya hanya menjawab ringkas saja "kau pandu 150KM macam aku pandu 110KM saja...." Ye lah fikir saya keretanya berkuasa besar.

05 Januari 2009

1998~2009 Sejarah lama saya

Bayangkan pada tahun 1998 saya memohon pinjaman komputer. Akhirnya mulai tahun 1998 saya mulai mengenali kamputer dan internet. Oleh kerana semasa saya membeli komputer dihujung tahun 1998 maka saya ingin membawa kisah penggunaan komputer bermula pada awal tahun 1999.

Justeru, saya menganggapkan tahun 2009 adalah ulang tahun kesepuluh adalah ulangtahun saya celik komputer!. Tambahan hujung tahun 1999 saya mula mencipta laman web menerusi tapak web Tripod.Com. Sehinggalah kini laman web tersebut telah berusia 10 tahun setelah dilancarkan secara rasmi pada 15 Oktober 1999.

Banyak ranjau yang saya tempuhi kerana tidak pernah belajar komputer secara formal melainkan daripada isteri dan rakan-rakan rapat. Saya menghabiskan masa hingga ke Subuh semata-mata ingin meningkatkan kemahiran.

Setelah saya mahir dan memiliki sedikit bahan dalam bidang fotografi maka saya muatkan dalam laman web yang diberi nama Alam Seni Foto~photography for all~. Ketika itu fotografi digital belum berkembang seperti sekarang. Maka kebanyakkan nota berasaskan analog. Oleh kerana ramai yang dahagakan ilmu maka laman web tersebut dapat menambat hati ramai pengunjung dari seluruh negara, Indonesia, Brunei, Thailand.

Kini setelah sepuluh tahun berlalu saya amat berbangga kerana telah wujud laman-laman seperti itu muncul dengan baik sekali yang dibangunkan oleh anak-anak muda Malaysia!