Senarai Blog Saya

26 Disember 2008

Dugaan di perjalanan

Apa perasaan anda apabila sedang bercuti bersama keluarga ditimpa sakit? Inilah yang saya alami sejak hari Ahad lepas.
Sudahlah hari Ahad kena cirit birit. Malam tadi semasa bermalam di rumah sahabat lama (Hj. Wahid) di Pekan Beris Jaya saya sakit perut seperti kembong. Semalaman tidak dapat tidur.
Dari jam 7 malam hingga Subuh tidur saya terganggu. Aduh Allah sahaja yang tahu. Semua rancangan saya semasa bercuti di Utara (Pulau Pinaang dan Kedah) tergendala. Hajat untuk menziarahi rakan-rakan lama tergendala. Hajat hendak melihat Empangan Beris gagal.
Akhirnya saya berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat. Namun Allah masih menguji sehinggalah saya memulakan perjalanan balik ke Bangi perut masih meragam.
Syukur setelah mendapatkan ubat di poliklinik UKM petang semalam saya telah sembuh.

Kembali menyusuri nostalgia



Saya dan isteri bersama puteri bungsu Nur Aqilah tiba di Kampung Guar Jering, Permatang Pauh jam 10.30 pagi setelah memulakan perjalanan dari Bangi jam 4.15 pagi. Melakukan perjalanan lebih 300 km memang memenatkan namun kerana sudah lama tidak ke utara perasaan gembira menjejakkan kaki ke kampung asal ibu membuatkan penat itu hilang begitu sahaja. Dua lagi puteri tidak ikut serta kerana mereka ada kuliah dan peperiksaan di kolej. Berat juga untuk meninggalkan mereka. Namun kuliah mereka lebih penting akhirnya kami membuat MOU agar mereka tidak ikut serta.

Biarpun kampung sebenar ibu saya ialah di Permatang Pasir namun Guar Perahu adalah tempat tinggal arwah Mak Ngah. Saya hadir di sini untuk memenuhi undangan balu sepupu abang Zain yang melangsungkan perkahwinan anak bungsunya.

Sudah tiga belas tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sini bersama keluarga. Jadi dengan kepulangan saya kali ini memberikan kejutan kepada keluarga ibu yang mereka panggil Mak Andak.

Majlis perkahwinan ini merupakan majlis pertama saya datang setelah merantau ke Bangi lebih dua puluh tahun dulu. Mungkin tahun ini rezeki saya lebih maka dapatlah memenuhi undangan tersebut.

Berkumpul di majlis perkahwinan memang menarik kerana boleh bertemu ramai saudara mara sahabat handai. Justeru dengan kehadiran saya memberikan kesempatan yang baik untuk bertemu ramai sepupu yang sudah lama tidak jumpa. Agak lama saya tidak bertemu mereka. Malahan ada yang tidak saya temui kira-kira tiga puluh tahun. Mereka biarpun hanya sepupu namun keakrapan seperti saudara kandung kerana semasa kecil sering berjumpa dan bermain. Disebabkan saya tidak mempunyai adik dan abang (cuma kakak) maka ada diantara sepupu yang begitu mesra seperti adik beradik seibu seayah….

Suatu ketika dulu kami masih kanak-kanak dan remaja, kini kami semua dewasa dan mempunyai anak-anak namun pertemuan ini cukup nostalgik. Kami bertemu dalam suasana masing-masing sesudah ketiadaan ibu dan ayah.

Dengan wujudnya pertemuan ini biarpun hanya pertemuan dikalangan sepupu, tetapi saya merasai kehidupan ini tidak sunyi sebenarnya biarpun saya tidak mempunyai ramai adik beradik kandung.......

18 Disember 2008

Panggilan telefon penuh bermakna

Petang tadi kira-kira jam 6.30 saya menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak ada dalam memori. Dari kod nombor saya pasti panggilan itu dari utara.

Ketika saya menjawab salam suara dihujung talian begitu mesra menyuruh meneka siapa empunya suara. Seperti biasa saya tidak kenal suara itu.

Akhirnya beliau membahasakana namanya Cikgu Lah. "Cikgu yang orang tak suka sebab selalu merotan murid-murid...."

Saya mengucap syukur panjang apabila itulah guru yang sudah 33 tahun berpisah sejak meninggalkan bangku Sekolah Menengah Kebangsaan Sik pada tahun 1975!

Rupa-rupanya beliau dapat menjejaki saya menerusi coretan memori lama dalam laman Dari Sik ke Bangi di tajuk Jasa Guru . Mulanya agak gusar juga manalah tahu kalau-kalau dalam coretan tersebut saya menghina beliau atau mengutuknya. Namun saya dapat menduga dari riak suaranya Cikgu Lah begitu terharu dengan coretan itu.

Inilah kuasa Allah. Dia mampu menjadikan apa saja dalam membentuk sejarah manusia. Jikalau baik, baiklah. Jikalau jahat itulah akibatnya melupai Allah. Saya terharu dengan panggilan petang tadi kerana Allah menunjukkan kuasanya dan memberikan rahmatnya buat saya. Rupa-rupanya coretan saya itu berbaloi biarpun tidak menerima apa-apa saguhati seperti pernah dilalui ketika menyumbangkan hasil karya kepada mana-mana media cetak.

Saya sempat memberitahu Cikgu Lah bahawa pada minggu depan akan ke utara. Beliau sempat memberikan alamat rumahnya namun apabila melihat kembali pada "clip" telefon bimbit nombornya telah hilang. Saya akan cuba mencari rumahnya berdasarkan teknik penyiasatan yang pernah saya belajar.....

17 Disember 2008

Selesai untuk tahun ini

Hari saya dan Dr Arif baru selesai mengendalikan satu kursus fotografi digital yang dianjurkan oleh anak syarikat UKM Holding iaitu Talent Enhancenment Academy. Letih juga mengendalikan kursus seumpama ini. Mana tidaknya bermula dari pagi hingga larut malam baru selesai.


Paling menyeronokkan ialah dapat membina jalinan baru dengan anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia. Mereka cukup berdisiplin. Manakan tidak antara para peserta ialah berpangkat Sarjan dan Pegawai Waran 1 dan 2.


Jangan kita fikir apabila kita mengajar kepada peserta kita tidak akan dapat ilmu baru. Sebab itu adalah satu pertukaran ilmu yang kita boleh perolehi. Setipa kali saya mengendalikan kursus-kursus seumpama ini maka saya tetap memperolehi pengalaman dan ilmu baru.


Dr Arif biarpun dia seorang pensyarah di UKM namun kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjadi partner amat mengharukan saya. Kami berdua mengabungkan antara ilmuan dan pengalaman. Akhirnya sudah pasti peserta akan berpuashati.

Pagi tadi sebelum kursus tamat En Fadil pegawai yang menjadi pengurus kami bertanya 24 Disember ni boleh lagi jalankan kursus tak? Saya kata cukuplah dulu untuk tahun ni saya nak bercuti hujung minggu ini sehingga 24 Disember nak pergi Kedah dan Pulau Pinang.

11 Disember 2008

Sudah lama tidak bercuti begini







i.

Hari ini 11 Disember 2008 negeri Selangor bercuti Hari Keputeraan Sultan Selangor. Sudah tentu hari ini penduduk negeri Selangor berehat. Mungkin ada yang sambung bercuti esuk maka mereka akan bercuti selama empat hari. Namun tidak kurang yang sudah bercuti sejak hari Selasa. Maka mereka bercuti seminggu sejak hari Sabtu lepas.

Saya tidak dapat berbuat begitu kerana tugasan agak padat sejak lepas Hari Raya Aidil Fitri. Walaupun kami bertiga di satu unit namun semua ketiga-tiganya padat dengan tugasan tambahan sejak lepas Hari Raya Aidil Adha Sukan Universiti ASEAN sudah bermula. Ikhwan menjadi Jurufoto rasmi di sana sejak seminggu lepas hingga 22 Disember ini.

Sejak seawal jam 7 pagi tadi saya sudah berada di Pusat Perubatan UKM menemani isteri membuat pemeriksaan kesihatan. Agak sudah lama saya tidak menemaninya kerana kebetulan beliau bertugas di sana. Tetapi pagi tadi saya mengambil keputusan menemaninya.

Berada di hospital memboleh saya berfikir tentang nikmatnya menjadi orang sihat. Saya merasakan amat bersyukur kepada Allah kerana masih sihat.

ii

Jam 10.30 pagi saya dan puteri bungsu Nur Aqilah sudah berada diperkarangan Taman Burung Kuala Lumpur. Sebenarnya semasa menemani isteri tadi saya membawa satu set kamera. Jadi hari ini saya masuk taman burung yang sudah lima tahun tidak kesana.

Eh, untuk apa saya ke sana jika tadi saya kata bercuti sepenuhnya hari ini? Inilah saya yang berkelumang dengan kamera sejak 1972. Fotografi adalah hobi adalah kerjaya. Saya tidak memancing, bersukan dan sebagainya namun hobi utama saya ialah menulis, fotografi dan menulis blog atau web. Menulis blog atau web adalah hobi baru saya.

Tepat seperti tulisan DR HM Tuah dalam bukunya "Menjadi Individu Cemerlang", kalau nak hilang bosan atau untuk memotivasikan hidup cuba ubah ke hobi baru.

Maka hari ini saya membawa puteri bungsu ke taman burung untuk melihat dan mendengar kicauan burung. Penuh juga memori kad saya sebanyak 3 Gigabait (GB).

Menariknya hari ini saya hanya membawa seorang anak kerana dua orang lagi di kolej. Puteri bungsu saya bertuah dapat ikut serta kerana masih bercuti sekolah hujung tahun. Rupa-rupanya apabila kita hanya berdua dengan anak ia akan menjadi seorang anak yang manja. Di sinilah saya dapat menerapkan kasih sayang secara total kepada beliau. Ada waktunya terasa bagaikan dia masih bayi!

iii

Ketika berjalan-jalan selama empat jam di Taman Burung KL berbagai-bagai orang saya temui. Ada orang Cina yang hobinya sama seperti saya. Ada pula bertemu dengan seorang pengunjung Melayu yang membawa kamera untuk melepaskan daya kreativitinya bersama-sama burung-burung. Bersama dua orang ini sempat juga kami bertukar-tukar maklumat dan pengalaman tentang fotografi. Jadi, saya rasa percutian hari ini tidak mahal biarpun kena membayar RM15 seorang dan makan aiscream di sana.

Ilmu bukan sahaja kita perolehi dari buku mahupun guru. Perjalanan juga sebahagian dari sumber ilmu.

08 Disember 2008

Kepiluan

Ketika siaran langsung laporan TV dari tempat kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sudah dua kali mendengar sayup-sayup takbir Hari Raya Aidil Adha. Pertama malam tadi semasa siaran berita jam 8, kedua pagi ini selepas balik dari masjid.

Inilah kuasa Allah biarpun berlaku bencana yang dahsyat namun kalimah mengagungkanNya tetap berkumandang. Meremang bulu roma saya dan mengakui biarpun dalam pilu individu yang melafazkan takbir itu tetap menahan sebak untuk meneruskan takbir itu.

Itulah semangat kita biarpun kita berada ditahap hendak menghadapi maut sekali pun berdoalah agar kalimah Allah tetap boleh dilafazkan....!

Mari kita fikir-fikirkan

Hari Raya Aidil Adha datang lagi malam tadi setelah terbenamnya matahari Maqhrib. Orang akan bercerita tentang Fardu Haji dan Qurban. Sudah menjadi topik apabila tiba Aidil Adha penceramah dan ustaz akan mengaitkan pengorbanan. Elok tu selain melakukan ibadah qurban menumbangkan haiwan (yang halal) empat kaki kita kena berkurban masa, harta benda, kasih sayang untuk Allah, Rasullah dan agama Islam.

Saya ingin memetik isi khutbah Aidil Adha di Masjid UKM. Khatib memetik peristiwa orang balik haji tidak berubah dengan menutup aurat. Melanggar hukam dan fatwa. Menurut khatib, melanggar hukum Allah ada melawan Allah! Allah tidak akan terjejas atas perbuatan mendurhakainya namun yang akan menerima bala dan bencana ialah hambanya.

Saya merumuskan dari isi khutbah; usah melawan Allah biar apa pun alasan kita kerana kesannya akan tertimpa keatas kita.

Rakan lama

Apabila lama tidak bertemu rakan lama maka ada waktunya kita menjadi rindu. Biarpun rindu itu tidak sehebat mana namaun ada waktunya teringat saat-saat ketika bersamanya. Saya ramai rakan-rakan lama. Malahan mereka hilang dari kelompok pergaulan saya setelah berpisah jauh kerana kerjaya kerana sibuk dan kerana naik pangkat.

Protokol dan etika ada waktunya kita hanya boleh angkat tangan sahaja jika bertemunya. Ada waktunya dia akan menegur saya terlebih dahulu walaupun saya sudah nampak beliau dari jauh. Ada waktunya kita hilang rakan lama kerana pangkat, kerana isterinya orangnya berpangkat. Harta juga menjadi sempadan dalam pergaulan. Namun pada zahirnya dia tetap rakan kita.

Bayangkan kita harus hormatnya ketika bertemu dimana-mana majlis yang berprotokol. Kita harus bersikap demikian kerana pangkatnya dan orang sekeliling.

Cuba anda bayangkan apabila membuat sms kepada seorang rakan lama yang sama-sama bersekolah, berkawan semasa susah untuk mengucapkan selamat hari raya. ayat kita panjang tetapi ayatnya cuma "sama-sama, terima kasih".


Begitulah semalam saya sempat bertemu rakan lama kini sudah bergelaran. Rasa macam sudah 20 tahun tidak bertemu. Sedangkan saya kerap bertemu beliau. Namun pertemuan itu dalam majlis berprotokol dan dia juga individu yang penting dalam masyarakat.

Saya sendiri yang menyisihkan diri semasa beliau berada pada tahap itu kerana tidak mahu menjadi melukut ditepi gantang. Beliau tidak kisah ketika itu dia tetap menyapa saya seperti dulu-dulu. Cuma saya yang kena faham siapa saya.

Waktu itu dia mempunyai pengikut yang ramai. Beliau perlu menjaga kedudukan. Saya terfikir jangan nanti ada pengikutnya akan tertanya-tanya "siapa pula dia ni tetiba saja muncul nak cari kesempatan".


Namun pertemuan hampir 15 minit semalam memecah sempadan protokol kerana dia kita tidak menjadi individu penting di mata masyarakat. Boleh berbual di tepi jalan dan dia masih berada di dalam kereta. Namun saya akur dia masih bergelaran tidak boleh main panggil nama sahaja. Pun begitu saya puas kerana saya masih boleh bertemu dengan rakan ini tanpa protokol, tanpa perlu membuat temujanji menerusi pembantunya.

Pertemuan itu menoktahkan bahawa saya masih rakannya. Saya harap beliau terfikir bahawa dia tidak pernah tertekan suatu masa dahulu, kerana saya tidak pernah meminta apa-apa bantuan semasa tandatangannya cukup mahal suatu masa dulu!

06 Disember 2008

Terharu dan takziah


Foto dipetik dari mSatar.com

Minggu lepas (30 November) sedang saya memandu kereta di MRR2 ke rumah ayah saudara isteri di Ulu Klang mata terpandang Hightland Tower yang masih tinggal usang. Saya pernah berjanji untuk membawa keluarga untuk melihat kesan runtuhannya. Peristiwa itu cukup meninggalkan kesan kepada semua orang Malaysia masa itu. Kini hampuir dilupai. Tambahan orang muda termasuk anak-anak saya. Mereka tidak tahu sejarahnya kecuali setelah diceritakan.

Saya turut melahirkan rasa gusar apabila melihat suasana tanah tinggi di sekelilingnya.

Hari ini satu lagi tragedi berlaku lagi di Bukit Antabangsa. Banyak rumah-rumah musnah. Hingga kini TV masih menyiarkan laopran terkini dari masa kesemasa. Detik demi detik saya melawat laman web untuk mengetahui keadaannya. Malahan saya telah menghubungi rakan-rakan untuk mengetahui kalau0kalau ada orang yang kenali telibat. Syukur setakat ini belum ada yang diberitakan.

Dalam catatan ini saya sukar untuk mencatatkan apa-apa kerana ia kerap terjadi di negara kita. Terharu, takziah dan bersabarlah dengan dugaan ini.

04 Disember 2008

Penyakit itu ujian Allah kepada kita

Penyakit Itu Ujian Allah Kepada Kita merupakan ungkapan yang kerap disebut oleh ustaz-ustaz dan alim ulama. Namun bagi mereka yang sedang menderita sakit sudah tentu terfikir bagaimana ujian yang dimaksudkan.

Semasa saya diberitahu oleh doktor bahawa Ibu mengidap Leukimia, dunia bagaikan gelap gelita. Masakan tidak, dia ibu yang melahirkan,membesarkan dan memberikan kasih sayang kini mengidap penyakit paling hebat itu.

Saya berada disebelah isteri sewaktu beliau mengalami keguguran anak dalam kandungannya yang berumur lima bulan. Sambil memegang barang miliknya dan tersandar di dinding Hospital Besar Kuala Lumpur ini sahaja ungkapan yang dapat diluahkan kepada anak saudara Radhi "Paksu kehilangan anak hari ini".

Dr Razak mengesahkan isteri saya mengidap sejenis penyakit yang ada kaitan dengan barah. Hati saya dibelenggu gusar.

1999 saya disahkan oleh doktor HUKM (kini Pusat Perubatan UKM) mengidap penyakit yang menyebabkan mata saya jadi kabur. Ada waktunya gelap, ada waktunya saya rasa kabur. Terasa dunia ini akan gelap. Saya sering berulang alik bertemu doktor. Makan ubat staroid untuk memulihkan bengkak mata saya. Ada waktunya berada di klinik HUKM sehingga satu hari untuk menerima rawatan.

Paling menakjubkan setiap kali bertemu doktor, beliau akan mengungkapkan "En. Raai bersabarlah ye. Bertawakallah ye. Banyakkan doa. Kurangkan stres ". Ada waktunya doktor-doktor bagaikan rakan.

Kesabaran usah dipertikaikan. Harapan untuk pulih usah ditanya lagi. Saya lakukan apa yang doktor minta. Makanan tambahan usah ditanya lagi. Sebut saja apa jenis saya akan makan. Buah-buahan, sayur menjadi makanan sebagai ubat!

Saya bongkar rahsia Al Quran, Hadis, jumpa rakan-rakan yang faham mengenai perubatan dengan kaedah bacaan ayat-ayat Al Quran. Banyak buku-buku yang mengaitkan ayat Al Quran saya beli. Saya menemui rahsia Allah. Saya menemui rahsia hadis.

Rahsia Al Fatihah saya temui. Saya membaca sebanyak 41 kali setiap malam. Allah menyahut bacaan Fatihah. Saya menggunakan wirit Nabi Doa Nabi Yunus semasa terperangkap di dalam perut Ikan Nun.“LAA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ DZALIMIIN”(Surah Anbiya’).

Membaca Yasin dan bersolat Hajat adalah rutin saya. Bayangkan saya boleh menggunakan masa untuk Allah sejam atau dua jam ketika itu.

Rupa-rupanya apa yang yang saya lakukan merupakan terapi minda dan fizikal yang paling mujarab. Semua yang saya lakukan adalah terapi keimanan selain menunaikan segala ibadat lain seperti solat wajib, puasa dan sebagainya.

Bayangkan saya membaca Yasin ada waktunya selama satu jam, sudah tentu memakan masa antara satu jam atau lebih. Solat Hajat juga membuatkan saya menghilangkan tumpuan kepada perkara-perkara lain.

Saya menemui kajian seorang saintis bahawa ketika seseorang rukuk dan sujud satu urat di otak akan mencantumkan darah. Sebab itu amat berkat apabila kita rukuk dan sujud dalam jangka waktu yang lama. Sebab itu rukuk dan sujud menjadi lama dalam solat Tasbih.

Kenapa harus mencari kaedah lain untuk menyembuhkan penyakit? Anda bersolat wajib lima waktu kerana tuntutan Allah. Itu fardu ain. Melakukan solat sunat untuk memohon berbagai kehendak adalah satu kaedah yang amat baik dilakukan. Jangan malu dengan Allah untuk meminta dariNya.

Mencari penawar untuk menyembuhkan penyakit dengan kaedah selain Islam tidak baik, haram. Gunakan kaedah Islam. Sebab Allah menurunkan penyakit bersama ubatnya. Pernah saya mendengar "Allah amat rapat dengan hambanya yang berdoa dalam kesusahan".

Kembalilah ke jalan Allah. Pesan saya andainya kita menderita sakit, berusahalah dengan kaedah yang diredai Allah. Jikalau kita mati pun mati kita dalam keimanan. Tidak kufur mahu pun menjadi kafir. Sebab amalan itu yang akan menentukan sempat atau tidak mengucap Syahadah!

*NOTA: Syukur isteri saya kini dalam kawalan Allah dengan penyakit yang dihidapinya. Mata saya juga sudah berbeza jika hendak dibandingkan dengan keadaan pada tahun 1999. Kisah ini untuk menjadi pedoman kepada semua yang beragama Islam.