Senarai Blog Saya

20 Mac 2009

Makanan halal dan haram

Malam tadi semasa bertugas merakam gambar Majlis Makan Malam Kolej Kediaman Dato' Onn UKM, saya tidak memilih daging ayam setelah melihat berita jam 1.30 di TV dan jam 8 malam tadi. Selera saya menjadi hilang apabila teringat berita "ayam yang tidak sembelih mengikut kaedah yang halal dalam Islam".

Ini bukan kali pertama kita dipaparkan dengan berita seumpama ini. Dulu kita dikejutkan dengan makanan yang tidak halal di beberapa hotel,pasaraya dan seumpamanya. Apakah ini disengajakan oleh pihak-pihak berkenaan? Atau mereka buta ilmu? Paling mengejutkan apabila dalam berita semalam diberitahu pengusaha berkenaan telah diberikan kursus kaedah penyembelihan yang betul mengikut cara-cara Islam.

Pengusaha itu orang Islam atau tidak tidak menjadi perkara utama. Paling mengejutkan proses menghasilkan makanan, bahan untuk dijadikan makanan harus beradap. Kita perlu faham sensitiviti perbagai kaum.

Di Malaysia terdapat berbagai kaum dan agama. Orang Islam dengan pantang larangmya. Orang India beragama Hindu ada pantang larangnya. Saya fikir bangsa lain juga ada patang larang mereka.

Kita boleh mengasingkan makanan orang tidak makan lembu kerana kepercayaan agamanya. Maka kita juga perlu hormat dengan orang Islam yang mempunyai pantang larang halal haram dari sudut agama. Pastikah kita apabila menjamah makanan, dan makanan itu halal ?

Saya masih ingat 30 tahun dahulu tidak berselera untuk makan makanan segera seperti burger, ayam goreng, sosej, yung tau fu dan sebagainya atas alasan bimbang status halal dan haram.

Dua puluh tahun dulu semasa saya mengikut seorang pensyarah UKM yang membuat kajian mengenai makanan segera, beliau memberitahu sebelum terbentuknya jawatankuasa halal haram oleh kerajaan, ramai orang-orang Islam secara tidak tahu telah menjamah makanan yang tidak halal.

Syabas kepada pihak yang telah membongkarkan kes-kes seperti ini agar masyarakat dapat mengetahui. Kita juga mengharapkan agar peniaga di pasar dapat berhati-hati ketika memperolehi bahan mentah.

Kepada pekerja-pekerja Islam di tempat-tempat yang membekalkan bahan mentah untuk makanan kita mengharapkan agar mereka membuat laporan segera andainya mengetahui ada unsur-unsur yang mencurigakan berlaku agar ada tidak berdosa dikemudian hari kelak.

Memulau untuk makan ayam pada hari ini mungkin tidak adil, kerana peratus pengusaha yang tidak bertanggungjawab adalah tidak ramai. Kerana pengusaha yang bertanggungjawab masih ramai. Pada hemat saya, peranan peniaga kecil penting dalam menasihatkan pembekal agar mereka lebih bertanggungjawab.

Berhati-hatilah mulai hari ini untuk menjamah makanan. Berdoalah agar Allah melindungi kita semua dari termakan makanan Haram.

17 Mac 2009

Cara yang kurang baik

Saya begitu mengejar masa semalam. Selepas mengambil isteri di hentian komuter UKM jam 7 malam, kami singgah di sebuah kedai makan yang menjadi pilihan keluarga selama ini jika memerlukan apa-apa makanan yang telah siap. Itulah cara hidup kebanyakkan kita jika suami isteri bekerja.

Jadual semalam agak padat sejak pukul 11 pagi kerana ada lawatan dan ceramah oleh pemenang Nobel Laureate Lecture Prof. Howard Robert Horvitz dan mengendalikan kuliah kursus pembantu makmal yang mengambil subjek Fotografi. Pukul 8 malam perlu berada di DECTAR untuk kerja rakaman foto untuk Pesta Pantun UKM 2009. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli nasi goreng sotong sebagai santapan malam.

Semasa membuat tempahan saya lihat pada menu, harga nasi goreng sotong ialah RM4.50. Jesteru saya terus memesan untuk 4 orang nasi goreng Sotong. Apa yang mengejutkan semasa membayar saya dikehendaki membayar dengan harga RM5.50. Saya bertanya kepada pembantu kedai harga sebenar berapa? Dan kenapa harga di menu lain. Pembantu kedai memberitahu tuan kedai saya mahu membayar harga lama. Tuan kedai kata bayar saja.

Saya bukanlah berkira sangat, saya membayar dengan harga baru. Sambil memberitahu pembantu kedai tersebut agar letaklah harga yang sebenar pada semua buku menu agar pelanggan tidak merasa tertipu.

Pada saya harga bukan perkara pokok, kerana matlamat saya ingin membeli makanan yang sudah siap demi dapat makan malam kerana kesuntukkan masa dan tidak mahu isteri terlalu letih. Saya juga membuat teguran kepada tuan kedai (yang saya kenali) agar tidak berbuat demikian lagi.Biar kita jujur, pelanggan tidak rasa tertipu dalam zaman orang bercerita kegawatan ekonomi.

Ingat, sabda Rasullallah rezeki orang berniaga adalah 99%. Namun Baginda mengajar kita jujur dalam perniagaan. Jangan menipu timbangan. Meletakkan harga yang berbeza juga pada saya menipu juga!

Harus kita ingat kedai makan merupakan kedai yang paling dekat dengan pelanggan kerana mereka makan ketika terdesak dan terlalu lapar. Jikalau mereka terasa tertipu, kesannya amat dalam. Berbeza dengan kedai lain mereka tertipi mungkin tidak terasa sangat.

Kenapa harus kita menipu dalam mencari rezeki, bukankah rezeki itu untuk kita guna dan menjadi daging darah kita juga?

11 Mac 2009

Alasan yang mengeciwakan

Tengahari tadi saya dan Ismail dipelawa minum oleh Bos. Tiba di kedai Ismail memesan Air Batu Campur (ABC) atau Ais Kacang (kata orang Kedah). Ismail kembali ke meja dan memberitahu jikalau nak minum ABC kata pelayan kedai "lambat siap".

Bos, iaitu Prof Dr Kamarudin pergi bertemu pelayan kedai tersebut. Saya lihat dia dan Ismail berbincang kemudian berlalu pergi.Kami kemudian singgah di kedai sebelah kedai tadi dan memesan menu ABC. Di sini tiada masalah.

Rupa-rupanya pelayan di kedai tadi memberikan alasan yang boleh membuatkan pelanggan naik angin. Alasan lambat siap yang melambangkan kemalasan mereka. Inikah sikap yang yang harus ada pada setiap orang kita dalam keadaan orang sedang bercerita tentang pembuangan pekerja sekarang? Mungkinkah alasan begini membuatkan ramai majikan kurang senang dengan pekerja dari negara sendiri?

Adalah lebih baik jikalau "malas" lebih baik beritahu saja "ais dah habis".