Senarai Blog Saya

29 Jun 2008

Tengah malam yang merimaskan

Tengah malam tadi tiba-tiba saya menjadi rimas. Sedangkan mata sudah mengantuk setelah penat bertugas sekitar hari pendaftaran pelajar di tempat kerja (UKM). Apa tidaknya saya menjadi rimas apabila terjumpa sebuah laman web yang menyiarkan artikel mengenai seni foto.

Artikel itu diceduk (salin) dari laman web saya Alam Seni Foto~photography for all~ Kandungannya 100% menggunakan hasil tulisan saya, tetapi penulisnya menulis dengan meletakkan namanya sebagai penulis!

Saya terus rimas di tengahmalam. Saya bersabar dan menunggu hari esuk untuk bertindak.

Hari ini saya menghubungi penasihat kelab tersebut, beliau terkejut besar dengan kerja-kerja anak buahnya.

Selepas menerima alasan beliau tidak tahu kerja-kerja anak buahnya maka saya terus menghubungi presiden kelab berkenaan. Beliau juga terkejut.

Akhirnya selepas saya menghubungi semula presiden kelab tersebut beliau memohon maaf dan berjanji untuk memperbetulkan keadaan.

Saya memberitahunya tempuh sebulan diberikan untuk masalah ini dibetulkan.

Laman Alam Seni Foto dibungunkan 13 Oktober 1999 dalam Bahasa Malaysia. Laman tersebut diwujudkan semasa era filem.

Saya bangunkan laman itu untuk kemudahan pelajar saya memperolehi nota. Saya beri percuma tanpa ada niat untuk menjadi kaya! Namun ramai juga memperolehi faedah hasil laman itu.

Apa yang saya sedih, apabila terdapat pembangun laman web menceduk hasil penat lelah saya tanpa memberikan sepatah pun penghargaan....................

Kuasa tangan seorang Ibu

Hari ini; 29 Jun 2008 (Ahad) saya bertugas seperti biasa kerana UKM menerima pelajar baru seramai lebih empat ribu orang. Seawal jam 7.30 pagi saya telah berkumpul bersama pegawai kanan UKM. Oleh kerana YgBhg. Dato Naib Canselor masih berada di studio RTM bagi satu slot temuramah di rancangan Selamat Pagi Malaysia, maka rombongan pegawai UKM memulakan lawatan pertama ke Kolej Dato Onn.

Cuaca redup melancarkan perjalanan kami. Kuatir dengan keadaan akan hujan saya telah menyediakan bag plastik untuk melindungi kamera!

Tidak banyak perubahan suasana hari pendafatran. Seperti biasa peristiwa angkat bag, angkat tilam berlaku seperti biasa. Majlis berjalan seperti biasa.

Di Kolej Burhanudin Helmi, saya diperkenalkan oleh Puan Ramlah seorang Pegawai Tabdir Hal Ehwal Pelajar kepada sorang ibu tunggal beranak lapan.

Ibu tunggal berusia 58 tahun ini agak pemalu atau lebih tepat merendah diri untuk menceritakan kisah anak-anaknya. Namun Puan Hajjah Hamidah Hamat harus berbangga dengan lapan orang anaknya, tujuh telah berjaya menjejakkan kaki ke IPTA.

Anak yang ketujuh baru mendaftar sebagai siswi UKM. Manakala enam anak yang lain telah menjadi graduan. Anaknya yang kelapan masih belajar di sekolah menengah.

Inilah yang dikatakan tangan ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia!

28 Jun 2008

Catatan perjalanan 19 hingga 24 Jun 2008

i.19 hingga 21 2008 Jun

Saya ditugaskan ke Universiti Sains Malaysia (USM)di Pulau Pinang untuk membuat liputan fotografi di Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor Sukarelawan Polis IPTA (SUKSIS).

Bertolak dengan kenderaan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) jam 11.30 pagi dan tiba di USM kira-kira jam 4.45 petang.

"Saya pulang ke kampung hari ini", kata saya kepada Azmi yang memandu kereta UKM.
"Kampung En. kat sini ke?"
"Tak, ini kampung emak saya".

Oleh kerana matlamat saya ke USM untuk bertugas, maka selepas beberapa lokasi merakam gambar sekitar latihan sebelum majlis sebenar saya mengajak Azmi ke sebuah kampung yang telah ditinggalkan dua belas tahun.

Sebenarnya saya tidak ke kampung arwah emak, kerana yang saya hendak pergi ialah Pekan Penanti (Kubang Semang). Saya perlu ke rumah sepupu, yang dipanggil Kak Chah. Dia anak sulong emak saudara saya Mak Anjang.

Saya terputus hubungan sejak 12 tahun dulu selepas kali terakhir menziarahinya. Ketika itu suaminya masih hidup. Selepas suaminya meninggal dunia, saya kehilangan line telefon kerana tiap kali menghubungi nombor telefon yang sedia ada, perkhidmatannya telah tiada dalam perkhidmatan.

Kak Chah kelihatan terkejut besar bila saya muncul di pintu rumahnya. Maklumlah kehadiran saya selepas hilang 12 tahun. Namun saya tidak pernah lupa mereka. Tiap kali terjaga dari tidur samada jam 1 pagi atau 3 pagi hati meronta rindukan keluarga biarpun mereka hanyalah sepupu. Namun rindu saya seperti rindu seorang adik kepada kakak. Maklumlah dia merupakan kakak sepupu yang kerap saya dan arwah emak kunjungi ebelum berhijrah berkerja di Selangor.

Oleh kerana faktor masa, wang maka sedar tidak sedar telah lama saya tidak menziarahi mereka.

Saya tidak lama di rumah kira-kira sejam saya harus pulang ke USM kerana tugas.

ii. Saya tidak tahu lagi bila akan menziarahi lagi sepupu bersama keluarga saya dari Bangi. Memikirkan dengan kos yang tinggi masa kini. Petrol, dan sebagainya telah naik harga.

Sering saya berkata, apakah kita akan terus berjauhan dengan keluarga setelah kos hidup semakin meningkat?

iii. 22 hingga 24 Jun 2008

Jam 10.30 pagi bertolak dengan kenderaan UKM ke distinasi Beserah, Kuantan; Pahang. Penat balik dari USM masih terasa kerana jam 10 malam Ahad baru tiba. Tapi kerjaya seorang Jurufoto seumpama saya wajib tahan lasak! Ini bukan perkara baru tetapi sejak 29 tahun menjadi Jurufoto telah saya rasai sekian kali.

Tiba di Beserah, Ali pemandu kenderaan UKM mengajak saya mencari gerai untuk minum petang selepas menempah chalet untuk menginap.

Saya dan Ali makan Sata dan Keropok Lekor.Apa yang mendukacitakan ialah faktor kebersihan. Sata yang saya makan dihurungi lalat penuh satu pinggan. Lalat lambang kotorkan? Saya jadi hilang selera!

Sata dan keropok lekor merupakan makanan yang enak. Justeru jagalah kebersihannya.
Namun selera saya dapat menjamu masak lemak ikan Patin. Enaknnya sampai balik ke Bangi masih terasa.

Demikianlah dua catatan untuk difikir-fikirkan.

11 Jun 2008

Kuantan ke Kuala Kemaman



5 Jun 2008 rakyat Malaysia digemparkan dengan berita kenaikan harga patrol RM 2.70! Saya lagi tergempar kerana pada 6 Jun 2008 kena ikut isteri ke Beserah Kuantan Pahang. Saya telah berjanji dengan isteri untuk ikut serta kerana waktu itu masih dalam cuti sekolah.

Mahu tidak mahu jam 11 pagi saya berlepas dari Pusat Perubatan UKM dan singgah mengisi patrol di sebuah stesen minyak di MRR2 pinggir Kampung Pandan. Terasa benar beza harga kerana saya harus membayar RM 64.00!

Ketika singgah di Karak untuk solat Jumaat kami hanya makan tengahari dengan goreng pisang! Tambahan saya wajib memandu sejauh hampir 200 KM lagi maka untuk makan yang berat-berat menjadi pantang kerana akan mengantuk.

Tiba di Kuantan habis minyak yang saya isi di Kuala Lumpur. Itu baru kenderaan yang hanya berkuasa 1.3 sahaja.

Keesukannya (7 Jun) saya bersama-sama tiga orang puteri menguruskan program sendiri ke Kemaman yang jauhnya 40KM dari Beserah.

Ketika tiba di Kuala Kemaman hati saya terus berdetik melihat suasana kampung-kampung nelayan. Mereka lagi terdesak daripada saya. Melihat orang-orang kampung disitu

Sejarah 1931 hingga 2008



Mari kita lihat dua keping foto yang berlatar belakangkan tahun 1931. Bangunan ini mungkin yang termegah tahun 1931! Manakan tidak ia berdiri megah di jalan utama Bandar Maharani (Muar)berhampiran Sungai Muar,Johor Darul Takzim yang penuh bersejarah itu.

Menariknya ialah waktu ini telah memgambarkan tiang-tiang arial tv yang melambangkan negara telah maju. Tambahan deretan kenderaan zaman kini menjadi saksi pada bangunan yang sudah berusia 77 tahun itu.

Tidak jauh dari bangunan tersebut terdapat jambatan pertama Muar yang telah menamatkan perkhidmatan feri menyeberang Sungai Muar.

01 Jun 2008

Sejenak memikir tentang kematian

Semasa menjamah hidangan makan malam bersama keluarga malam tadi saya menerima panggilan telefon daripada Hj. Wahid dari Kedah

"Cek Teh adik kak Habsah dah meninggal dunia semalam"

Saya tergamam sebab agak lama juga tidak menerima berita kematian sahabat,saudara dan sebagainya. Dengar berita dalam radio, TV dan akhbar hari-hari. Namun berita kematian mereka yang kita kenali amat berbeza.

Berita kematian Cek Teh tidak mahu saya besarkan di sini sebab anda tidak mengenalinya. Cuma saya ingin bertanya anda sudah berapa lama anda tidak mendengar talkin di tanah perkuburan? Kalau nak insaf betul-betul beli buku yang ada bacaan talkin bacalah sendiri. Tentu seramkan?