Sudah lama tidak bercuti begini







i.

Hari ini 11 Disember 2008 negeri Selangor bercuti Hari Keputeraan Sultan Selangor. Sudah tentu hari ini penduduk negeri Selangor berehat. Mungkin ada yang sambung bercuti esuk maka mereka akan bercuti selama empat hari. Namun tidak kurang yang sudah bercuti sejak hari Selasa. Maka mereka bercuti seminggu sejak hari Sabtu lepas.

Saya tidak dapat berbuat begitu kerana tugasan agak padat sejak lepas Hari Raya Aidil Fitri. Walaupun kami bertiga di satu unit namun semua ketiga-tiganya padat dengan tugasan tambahan sejak lepas Hari Raya Aidil Adha Sukan Universiti ASEAN sudah bermula. Ikhwan menjadi Jurufoto rasmi di sana sejak seminggu lepas hingga 22 Disember ini.

Sejak seawal jam 7 pagi tadi saya sudah berada di Pusat Perubatan UKM menemani isteri membuat pemeriksaan kesihatan. Agak sudah lama saya tidak menemaninya kerana kebetulan beliau bertugas di sana. Tetapi pagi tadi saya mengambil keputusan menemaninya.

Berada di hospital memboleh saya berfikir tentang nikmatnya menjadi orang sihat. Saya merasakan amat bersyukur kepada Allah kerana masih sihat.

ii

Jam 10.30 pagi saya dan puteri bungsu Nur Aqilah sudah berada diperkarangan Taman Burung Kuala Lumpur. Sebenarnya semasa menemani isteri tadi saya membawa satu set kamera. Jadi hari ini saya masuk taman burung yang sudah lima tahun tidak kesana.

Eh, untuk apa saya ke sana jika tadi saya kata bercuti sepenuhnya hari ini? Inilah saya yang berkelumang dengan kamera sejak 1972. Fotografi adalah hobi adalah kerjaya. Saya tidak memancing, bersukan dan sebagainya namun hobi utama saya ialah menulis, fotografi dan menulis blog atau web. Menulis blog atau web adalah hobi baru saya.

Tepat seperti tulisan DR HM Tuah dalam bukunya "Menjadi Individu Cemerlang", kalau nak hilang bosan atau untuk memotivasikan hidup cuba ubah ke hobi baru.

Maka hari ini saya membawa puteri bungsu ke taman burung untuk melihat dan mendengar kicauan burung. Penuh juga memori kad saya sebanyak 3 Gigabait (GB).

Menariknya hari ini saya hanya membawa seorang anak kerana dua orang lagi di kolej. Puteri bungsu saya bertuah dapat ikut serta kerana masih bercuti sekolah hujung tahun. Rupa-rupanya apabila kita hanya berdua dengan anak ia akan menjadi seorang anak yang manja. Di sinilah saya dapat menerapkan kasih sayang secara total kepada beliau. Ada waktunya terasa bagaikan dia masih bayi!

iii

Ketika berjalan-jalan selama empat jam di Taman Burung KL berbagai-bagai orang saya temui. Ada orang Cina yang hobinya sama seperti saya. Ada pula bertemu dengan seorang pengunjung Melayu yang membawa kamera untuk melepaskan daya kreativitinya bersama-sama burung-burung. Bersama dua orang ini sempat juga kami bertukar-tukar maklumat dan pengalaman tentang fotografi. Jadi, saya rasa percutian hari ini tidak mahal biarpun kena membayar RM15 seorang dan makan aiscream di sana.

Ilmu bukan sahaja kita perolehi dari buku mahupun guru. Perjalanan juga sebahagian dari sumber ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Papan tanda, dinding rumah pangsa dengan iklan haram

1998~2009 Sejarah lama saya

Sayangi organisasi kita