Panggilan telah berubah

Saya ingin membawa anda mengikuti beberapa dialog untuk tatapan anda.



Dialog 1:

"Mana K (ringkasan nama rakan sejawat saya)", tanya seorang wanita ketika masuk ke pejabat saya semasa mula-mula bertugas di UKM tahun 1979.
"Dia keluar Kak," jawab saya penuh hormat.
"Baiklah kalau dia balik bagi tau saya Dr R cari dia." Balas Dr R sambil berlalu keluar pejabat.



Dialog 2:

"Pak Cik... esok jam 9.00 pagi ada lapang nak ambil gambar projek saya," tanya seorang pelajar ketika masuk ke pejabat saya. Saya agak tergamam. Mana tidaknya ketika itu usia saya diawal 30-an. Terasa juga tua!

Selesai urusan saya bertanya dia semula;

"Nak tanya sikit, kalau kamu jumpa seorang pensyarah yang agak berusia dan kamu tidak tahu dia Profesor ke Dr ke apa yang kamu sebut sebagai panggilan hormat?"

Pelajar itu tidak dapat menjawab soalan saya. Dia agak tersipu-sipu. Namun saya terus memberikan jawapan untuknya. "Tentu kamu panggil dia sebagai En atau Tuan kan?". Pelajar tersebut mengangguk kepala. Saya tersenyum dan dia terus keluar.



Dialog 3:

"Mak Cik saya nak tumpang tanya di mana pejabat Pegawai Kaunselor," tanya seorang pelajar dikaunter pejabat Kaunselor sebuah IPT. Terbeliak biji mata petugas d kaunter tersebut.

"Bila saya kawin dengan Ayah kamu atau Pak Cik kamu?".

Pelajar itu terkejut besar apabila masuk ke bilik Kaunselor rupa-rupanya Mak Cik yang dia tegur di kaunter tadi merupakan Pegawai Kaunselor yang dicarinya.



Dialog 4:

Di sebuah pasar malam.

"Ya Kak nak kuih apa" tanya seorang penjual kuih yang sudah beruban dalam usia 50-an.

Selesai kuih dibeli. Suami Kakak membalas semula

"Beli ya Dik", penjual kuih tergelak besar.



Demikian beberapa dialog yang sempat saya kutip untuk dijadikan gambaran mengenai panggilan hormat yang kurang sesuai telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Kecelaruan panggilan telah wujud dalam masyarakat kita ada waktunya kurang diambil perhatian. Namun didalam hati tetap merungut.



Ada panggilan yang kurang tepat pada masa-masa tertentu. Andai seorang pegawai muda berusia 28 tahun memanggil "Abang" kepada seorang pegawai bawahan yang sudah berusia 50-an masih sesuai. Itu pun jika pertemuan empat mata. Namun kurang sesuai jika dialog ini dilafazkan dalam sebuah mesyuarat rasmi pejabat!



Seorang petugas kaunter membahasakan "Pak Cik" kepada seorang pelanggan bertongkat yang sudah berusia 60-an agak sesuai. Namun tidak sesuai bagi seorang yang bertali leher walaupun sudah tua. Mungkin dia seorang berjawatan tinggi atau bergelaran Tan Sri, Dato'.



Seorang pelakon terkenal yang saya temui di sebuah Kompleks membeli-belah membenarkan dirinya disebut "Abang" sahaja. Walaupun pada mulanya saya membahasakan dirinya "Encik."



Saya pernah berurusan dengan Profesor, Tan Sri, Dato', Datin mereka ada waktunya hanya membahasakan "Abang" sebagai panggilan mesra. Biarpun dia lebih muda atau veteran dari saya. Tetapi panggilan itu agak mesra.



Ketika berurusan di mana-mana tempat kenalah memikirkan apa panggilan yang lebih sesuai. Eloklah jika memulakan panggilan "Encik" atau "Puan","Cik" atau "Cik Puan". Lainlah jika petugas itu jiran kita, orang kampung kita yang sudah dikenali sejak sekian lama.



Bagus juga jika mengikut seperti orang Indonesia memanggil "Pak" sebagai ganti "Tuan". Tapi tengok tempat juga nanti ada orang akan tanya balik;


"Bila aku kawin dengan Mak kau?????"


Saya sendiri jika membuat panggialn ke pejabat isteri sering menggunakan ayat begini "...boleh saya nak bercakap dengan Puan S...". Namun jika yang menjawab panggilan itu kita kenal "Man kau panggilkan S... sekejap".


Tapi paling tak sedap dia balas balik "hoi tak puas-puas ke kat rumah sampai kat pejabat kau nak cakap dengan bini kau?"


Kalau kena begitu saya fahamlah mood kawan di sana kurang baik hari itu!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Papan tanda, dinding rumah pangsa dengan iklan haram

1998~2009 Sejarah lama saya

Sayangi organisasi kita