Senarai Blog Saya

06 Februari 2011

Pengemis dan Anda

Izinkan saya menulis mengenai pengemis. Andai anda berfikir disebaliknya itu saya tidak dapat menghalangnya. Tetapi apa yang hendak ditulis di laman ini adalah realiti yang  berlaku di depan mata saya. 

Kalau sebelum ini saya pernah menulis mengenai kanak-kanak yang dipergunakan oleh sendiket tertentu sudah tentu ada orang yang menyalah anggap. Saya tahu orang miskin memberi faedah kepada orang kaya, manakala orang kaya akan memberi faedah kepada orang miskin.

Orang miskin berdoa untuk rezeki orang kaya setelah memberi sedekah. Manakala orang kaya berdoa kepada orang miskin agar cepat menjadi senang atau kaya agar dapat membantu orang miskin lain.

Kita mempunyai baitulmal dan pusat zakat, namun ada pengusaha rumah-anak-anak yatim dan orang-orang tua berkata ianya tidak mencukupi. Ada maklumat yang saya perolehi bahawa sesebuah pertubuhan anak yatim memerlukan lebih dari duabelas ribu ringgit setiap bulan. Namun mereka menghadapi kesukaran kerana anggapan orang ramai terhadap kegiatan mereka amat negatif angkara ada pihak yang menipu.


Saya tidak mahu menuduh atau mengelak dari memberi derma tapi cuba ikuti apa yang hendak saya paparkan seperti berikut:

Situasi pertama: 

Sering kali saya didatangi warga asing dengan membawa album gambar yang menunjukkan suasana kemelaratan di negaranya. Suatu hari disebuah klinik dua individu yang saya maksudkan telah datang dengan membawa surat dari pejabat Mufti Perak. Sedangkan lokasinya di Bangi, Selangor. Ketika saya masuk untuk menerima rawatan, doktor berkata dia pernah memberi RM50. Kemudian datang pasangannya meminta dengan nilai yang sama.

Apabila saya keluar dari klinik dan menghubungi polis, warga asing ini melarikan diri. Dua hari kemudian ketika saya sedang menunggu anak di sekolah petang dua warga asing yang sama telah ditahan oleh seorang pegawai Imegerisen. Kemudian dua warga asing tersebut telah dibawa polis ke balai polis Sepang. Sehingga sekarang wajah warga asing itu tidak pernah saya temui lagi.

Situasi kedua:

Minggu saya singgah di Masjid UKM untuk bersolat Asar. Saya dapati seorang warga asing sedang menunjukkan album gambar mengenai kesusahan orang-orang ditempatnya kepada seorang pelajar lelaki. Selesai bersolat, saya keluar dan duduk disebelah warga asing itu. Apabila saya menelefon pihak keselamatan UKM untuk membuat laporan mengenai dua individu tersebut, tiba-tiba mereka bangun dan menghilangkan diri. Sedangkan saya menggunakan bahasa Melayu. Saya fikir mereka faham. Kalau mereka jujur kenapa melarikan diri? Pengawal keselamatan yang datang sepuluh minit kemudian telah saya maklumkan perkara ini.

Situasi ketiga:

Sedang saya menjamu selera datang seorang lelaki India Muslim. Membawa kad bertulis ayat berupa doa. (kejadian yang sama pernah saya alami di Hentian R&R Seremban arah selatan). Lelaki ini berkata dalam bahasa arab " Ini percuma (kad) dan ini tasbih dari Mekah" sambil menunjukkan kakinya yang bengkak. Pada hemat saya apa perlunya dia menjual tasbih sambil menunjukkan kakinya yang bengkak. Sudah tentu ia ingin meminta sedekah.

Akhirnya saya berkata "Syukran" kerana bermurah hati memberi percuma kad doa (yang saya tidak ambil pun), saya mengakhiri ayat "Sadaqallah Al Azim" lelaki itu beredar ke meja lain yang juga tidak percaya dengan gelagatnya.

Kami sekeluarga melihat lelaki itu yang kemudian menahan teksi bersama dua lelaki India (mungkin Muslim). Pada anggapan kami hebat lelaki itu walaupun dia pengemis tetapi mampu menyewa teksi.

Situasi keempat:

Malam Jumaat lepas (3hb Feb 2011) saya sekeluarga sedang makan di Kajang. Datang seorang lelaki  bertongkat dan kudung kaki. Saya pernah menemui lelaki ini sepuluh tahun lalu dengan gaya yang sama di Kampung Dato Abu Bakar Baginda dekat pusat-pusat latihan Bangi.

Mungkin Allah ingin menguji saya, hari ini (5 Feb) datang lagi lelaki yang sama sebelum lelaki India Muslim tadi. Lelaki ini seperti cam wajah saya kerana saya sedang makan bersama keluarga.

Saya pernah melihat lelaki ini balik dengan seorang lelaki lain dengan menaiki sebuah kereta sepuluh tahun lalu. Oleh itu keyakinan terhadapnya telah pudar.

Dalam kes OKU ini saya masih teringat adegan iklan Merdeka yang dilakonkan oleh Othman Hafsham seorang lelaki kudung dan memiliki kereta mewah. Adegan itu mengajar kita berusaha (bukan mengemis) biar pun OKU.

Saya ada seorang rakan Saudara Baru yang mengusahkan bengkel kereta. Ketika beliau baru memeluk Islam dia memperolehi bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan orang-orang kaya sekitar tempatnya. Selepas bengkelnya maju, menurut rakan saya beliau pula membayar zakat kepada Pusat Zakat Selangor.

Tulisan ini mungkin memberi anggapan yang berbagai, namun inilah hakikatnya. Masih ramai antara kita tidak mahu memandang atau membantu pengemis ini kerana mereka hilang kepercayaan setelah membaca kisah-kisah kekayaan mereka. Rakyat kita terlalu pemurah sehinggakan jikalau ada individu yang tidak membantu akan dipandang serong.

Kisah begini pernah dilakonkan oleh Seniman P. Ramlee dalam adengan ditipu oleh seorang gadis cantik di sebuah restoran dalam filemnya  Bujang Lapok.

Saya pernah bertemu seorang wanita tua di sebuah hospital ketika menunggu giliran mengambil ubat. Wanita ini meminta wang. Saya memberikan wang tersebut dan kemudian bertanya apa sakitnya. Wanita itu memberitahu dia sakit jiwa. Saya puas sebab kecelaruan akalnya lebih mudah saya percaya.

Saya lebih percaya kepada individu yang membawa tabung dan surat pengesahan jabatan agama memungut derma bagi membina masjid atau surau. Kerana mereka melampirkan surat yang disahkan dan nombor telefon untuk dihubungi.


Apa boleh kita lakukan, kecuali hanya gerak hati. Kalau hati kita berkata tidak mahu memberi maka itu ada keikhlasan kita. Sebab andai kita memberi hanya untuk mengelak orang sekeliling mengata kita kedekut, sedangkan kita berat untuk memberi maka itu lebih berat rasa saya.

Pada hemat saya sekiranya ketika kita membuat keputusan untuk memberi tanpa apa-apa  alasan, sudah tentu itu adalah cermin hati kita. Cuma kalau tidak mahu memberi jangan menolak dengan kasar. Kerana kehadirannya adalah ujian Allah untuk kita di hadapan keluarga dan orang ramai.Keempat

Artikel yang berkaitan: Pertama Kedua Ketiga Keempat

4 ulasan:

Abd Raai bin Osman berkata...

Maklumat terkini dari sahabat saya yang bertugas di Jabatan Kebajikan, pihak jabatannya tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat untuk pengemis.

"Hanya kad kenaldiri untuk tujuan menggunakan kemudahan awam dan bukan meminta sedekah. Oku bekerja kerajaan akan bagi bantuan RM300, yang tak kerja RM150, "jelas rakan saya.

Kalau ada kes seumpama ini boleh buat laporan kepada pihak PDRM, tambah sahabat saya itu.

Abd Raai bin Osman berkata...

Saya rasa kad itu yang disalah gunakan oleh orang-orang tertentu.

anyss berkata...

Assalamualaikum,
peristiwa saya alami di warta, bangi:
Minta derma untuk masjid di negeri lain (dalam kes ini di Kelantan dan berhampiran dengan rumah kami di kg). Adik saya bercakap dengan kuat (supaya di dengari) "bukan ke masjid tu dah siap ke?"

Esoknya, tong derma itu sudah ditukarkan nama maasjid yang lain pula.

Abd Raai bin Osman berkata...

Hebat tu Anyss.....boleh tukar nama masjid pada keesokkan hari?