14 Julai 2014

Lagu Raya

Lagu Raya

Malam ini sudah masuk hari ke-17 umat Islam menyambut Ramadan Al Mubarak. Hari Nuzul Quran. Umat Islam akan menyambut Syawal akan tiba. ManakalaPalestine terus dibom! 

Diantara orang yang berpuasa dengan orang yang tidak berpuasa sudah pasti jauh berbeza. Orang yang berpuasa sudah pasti berselera menjamu juadah diwaktu malam. Tapi orang yang tidak berpuasa sudah tentu makannya tidak sempurna kerana perlu makan secara sembunyi-sembunyi. Jadi, jika ada yang masih belum berpuasa maka esuk kena puasa!

Pastinya dalam masa yang masih berbaki anda akan merasai nikmatnya berpuasa. Tanyalah anak-anak apa yang menarik ketika berpuasa, mereka akan menjawab "makan dan minum".

Begitu juga "lagu raya". Cuba dengar dalam bulan Ramadhan tentu sekali lain rasanya. Tidak sama jika anda mendengar diluar bulan Ramadan dan Syawal. Walaupun saya kurang bersetuju pasaraya memasang lagu-lagu raya diawal Ramadhan seolah lebih mempromosi raya dari puasa.

Namun saya ingin mengajak anda yang sudah lama tidak balik bertemu sanak saudara,ibu ayah, adik abang, sepupu atau ipar duai untuk mendengar lagu-lagu raya. Pasti meleleh air mata. Baliklah seandainya anda masih mempunyai ibu dan ayah/mertua. Perasaan ketiadaan ibu ayah hanya mereka yang telah tiada pasti telah merasainya.....

Jikalau tiada kenderaan sendiri sudah pasti pagi esuk anda akan ke perhentian bas untuk membeli tiket. Pengurusan radio sudah menjadikan satu polisi mereka akan menyiarkan lagi-lagu raya dua atau seminggu sebelum Syawal. Namun saya kurang senang apabila lagu-lagu bertemakan Ramadan kurang dimainkan di mana-mana sebelum Ramadan.

Sudah pasti jika lagu-lagu sebegini disiarkan ada orang yang tidak sabar-sabar untuk menyambut bulan puasa. Mujurlah terdapat kumpulan-kumpulan nasyid mencipta lagu-lagu bertemakan Ramadan.

20 September 2013

Cacatan Penulis

Mulai bulan September 2013, saya akan lebih banyak menulis di laman Dunia Saya setelah memikirkan adalah lebih baik menumpukan pada satu halaman kerana topik dan hasrat penulis hampir sama.


27 Julai 2013

Anak yatim

Saya menjadi anak yatim ketika usia 11 tahun setelah ayah kembali ke Rahmatollah. Tepat pandangan pakar psikologi kematian merupakan satu peristiwa yang sukar dilupai. Kematian amat memeritkan untuk dikenangan. Bagi saya mengalami kematian seorang ayah ketika usia saya 11 tahun amat sukar untuk dilupakan kerana ketika seusia itu saya sudah merasai kasih sayang dan budi ayah.

Masih saya ingat ayah mengajar berpuasa. Ayah pernah membawa saya keluar ke bandar dan mencari kedai makan kerana saya lapar. Di dalam kedai terdapat ramai orang dewasa menjamu selera kerana tidak berpuasa. Ayah kata mereka uzur. Waktu itu saya tidak faham hukum maka saya hanya melihat mereka menjamu selera begitu enak!

Ayah pernah berpesan, jangan buat jahat. Jangan bunuh binatang ketika berpuasa. Mana saya tahu apa sebabnya. Kesan nasihat itu sehingga kini saya jadi simpati kepada semua haiwan walaupun seekor ular yang sedang melintasi jalan ketika memandu kereta.

Masih ingat ayah pernah berpesan kepada emak agar menghantar saya mengaji di sekolah pondok agar saya boleh menjadi guru agama. Akhirnya saya faham setelah menjumpai beberapa buku catatan bertulisan jawi ketika arwah pernah belajar dengan seorang guru agama.

Kesukaran menjadi anak yatim ialah ketika melihat kawan-kawan memiliki ayah. Malahan semua ayah mereka saya anggap macam ayah sendiri walaupun mereka tidak ketahui. Saya hanya berkata di dalam hati, " sahabat ..izinkan aku menumpang ayahmu...". Sebab itu saya ramai ayah angkat yang tidak diisytihar secara lisan. Namun saya fikir mereka faham kerana riaksi saya. Segala teguran mereka saya ingat hingga kini dan Insyallah hingga akhir hayat!

Ketika ayah meninggal dunia, saya sedang demam panas. Badan saya lemah ketika melihat jasad ayah diturunkan ke liang lahad. Saya hanya melihat dari jauh jasad yang selimuti kain kafan diturunkan untuk disemadikan di alam barzah....Ohh saya tiada lagi ayah. Hingga kini sekiranya saya menziarahi sesiapa sahaja yang meninggal dunia paling tidak dapat saya lihat ialah keadaan anak-anak mereka yang kesayuan/kepiluan disaat itu.

Justeru, keadaan sekarang amat baik. Anak-anak yatim dipelihara dengan baik oleh kita. Ada rumah amal atau pihak yang mengambil berat mengenai nasib dan masa depan. Ya, anak-anak yatim harus dijaga perasaan mereka. Jika anak-anak yatim yang ketiadaan ibu ayah ketika masih kecil mungkin perasaan mereka tidak seperti yang sudah remaja. Jaga jiwa mereka. Seandainya ada anak-anak yatim yang dirampas kasih sayang seperti ayah kawin lagi, emak kawin lagi mungkin perasaan mereka akan musnah.

Syukur andainya anda adalah penganjur majlis seperti ini.
 Harta, jangan rampas hak mereka. Pelihara harta mereka, jangan rampas hak mereka kerana mereka harus hidup dengan peninggalan harta itu. Islam sendiri meletakkan hukum, merampas harta anak-anak yatim berdosa besar.

Saya pernah melihat dan mendengar kisah-kisah harta anak-anak yatim dirampas dengan kejam dengan berbagai cara yang kasar atau halus.

Ada pihak-pihak yang menggunakan nama anak-anak yatim untuk memungut derma maka mereka harus amanah. Jangan menggunakan nama yatim ketika memungut derma/sedekah, tetapi hasil kutipan diselewengkan. itu pada saya amat mendukacitakan.

Ingat firman Allah dalam Surah AN NISAA' (WANITA)



waaatuu alyataamaa amwaalahum walaa tatabaddaluu alkhabiitsa bialththhayyibi walaa ta/kuluu amwaalahum ilaa amwaalikum innahu kaana huuban kabiiraan

[4:2] Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah balig) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan-tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa yang besar.
Ingatlah, saya bukan seorang ustaz, namun pengalaman hidup merasi bagaimana menjadi anak yatim amat sukar dan panjang untuk diceritakan dalam warkah ini.....@Raaiosman  

07 Jun 2011

Papan tanda, dinding rumah pangsa dengan iklan haram

Satu kaedah membuat promosi perniagaan kita ialah dengan mengadakan iklan. Iklan boleh dibuat di berbagai medai. TV, radio, akhbar, laman web, blog papan iklan dan sebagainya. Iklan di media begini sudah semestinya kena bayar. Harganya tidak murah malahan hingga puluhan ribu ringgit. Siapa yang mampu dan syarikat besar sahaja yang boleh mengiklankan jenama mereka di media yang saya sebut tadi.

Paling murah mungkin dengan membuat salinan foto copy dan disisihkan dalam akhbar harian atau mingguan. Kadar bayaran yang munasabah akan dikenakan oleh pengedar akhbar. Membuat banner juga mampu menjual produk kita dengan kos yang murah.

Saya terpanggil untuk mengulas satu siaran TV baru-baru ini mengenai iklan haram yang ditampal di merata tempat. Paling menyedihkan ditampal pada papan iklan orang lain. Ada yang berani menampal pada papan tanda arah yang dibina oleh majlis perbandaran mahupun daerah.

Apa sudah jadi ni? Saya pernah ternampak iklan ini di tampal pada tanda arah stesen minyak. Terdapat papan tanda jalan hilang ditampal dengan iklan mereka. Oh samseng sungguh orang yang melakukan perbuatan ini.

Saya pernah melihat seorang lelaki tua (bangsanya biarlah rahsia) membawa berkeping-keping kertas yang mengiklankan TV berbayar. Saya percaya semua orang pernah melihat kertas iklan di tampal pada kotak ibusawat telekom. Peti surat di pangsapuri kotor dengan kertas-kertas iklan ini. Malahan terdapat di pangsapuri penuh dengan kertas iklan yang ditampal pada saluran air pembungan air hujan dari bumbung.


Dua hari lepas saya bangkitkan perkara ini di dalam Facebook. Terdapat beberapa rakan FB yang memberi respon yang positif. Saudara Mursidi Ahamad memberitahu, "Saya ada pengalaman utk dikongsi bila tanda STOP ditampal sticker iklan. Berlaku accident sbb yg langgar tu kata takda pun STOP sign. Ada tapi dah tak nampak.". Beliau memberi respon mungkin kerana geram dengan iklan yang membuatkan dia kemalangan.



Seorang rakan FB memberitahu beliau mempunyai pengalaman bagaimana hari ini dibersihkan esok wujud ik lan baru. Pada saya ini kerja orang yang samseng. Pada saya mudah sahaja, kalau hari ini iklan itu dibersihkan elok letak pengintip. Jika terdapat orang hendak menampal kertas baru keesokkan hari maka tangkap saja orang itu.

Saya suka dengan seorang ahli majlis perbandaran dalam FB saya. Kata beliau report kat website mana-mana majlis tempatan. Pada hemat saya, kita boleh lapor, tapi kalau setiap kali wujud kerja-kerja haram ini dilakukan mana mungkin kita nak lapor setiap kali? Ini bukan kerja hakiki kita sebagai rakyat biasa.

Saya suka dengan cara Jabatan Kerja Raya (JKR). JKR meletakkan papan tanda yang besar di tepi jalanraya. Aduan kerosakkan jalan ke nombor DAPAT (32728). Atau lapor ke emel. Pengalaman saya sudah lebih enam tahun, apabila melaporkan kepada JKR, jalan akan disiapkan tidak sampai empat hari. Malahan emel saya kerap dijawab.

Pernah berlaku lima tahun dulu apabila jambatan kecil yang menghubungkan Jalan UKM ke Kajang pecah yang menyebabkan semua warga UKM, Bangi dan sekitarnya menghadapai masalah besar untuk ke Kajang. Saya kerap mengirimkan emel ke aduan JKR. Saya ingin memberitahu bahawa apabila jalan itu dibuka semula Jurutera JKR Hulu Langat mengirimkan emel kepada saya memberitahu jalan tersebut telah dibuka pada pukul 4.30 pagi. Syabas JKR.

Kita pernah dihebahkan dalam siaran berita TV ada pihak berkuasa tempatan membersihkan iklan-iklan haram ini. Tahniah dan harus diteruskan tanpa jemu.

Andainya seseorang ingin menggantung bunner di dalam kawasan majlis tempatan wajib memohon kebenaran dari pihak berkuasa, jika tidak iklan itu akan dibuang. Maka saya fikir iklan-iklan haram ini wajib diambil tindakkan.

Kejadian ini mungkin akibat ingin mencari rezeki namun jangan sampai orang yang mencari rezeki itu buta hati bahawa tempat yang ditampal itu boleh mengakibatkan kejadian yang tidak diingini terjadi kepada orang ramai. Kita pernah menonton satu iklan di TV mengenai ambulan gagal sampai ke rumah orang yang dalam kecemasan akibat tanda jalan telah rosak.

Ini masalah terpencil sebenarnya. Namun ia boleh menjadi masalah besar kalau berlaku kemalangan dan sebagainya. Masyarakat dan orang seperti saya boleh merakam gambar dan meletakkan dalam FB atau web dan akhbar. Tapi harapan saya jangan gambar-gambar begitu hanya menjadi hiasan sahaja.


16 Mei 2011

Hamba Allah yang istimewa

Pusat Latihan Orang Kurang Upaya, Bangi memberikan pengetahuan istimewa kepada saya petang tadi. Saya hadir ke situ untuk mengambil kaki palsu Fairus, anak saudara kepada isteri. Kaki palsu yang telah ditempah oleh Fatimah adik ipar saya seminggu lepas. 



Anaknya Fairus mengalami kecacatan pada kaki kiri setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu. Akibat kemalangan itu Fairus tidak dapat bergerak dengan sempurna. Fatimah ibu kepada Fairus mengharungi kepayahan anaknya demi masa depan agar cerah dikemudian hari telah memohon kaki palsu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Kerana Fairus saya dapat mengenali bengkel membuat kaki tiruan itu dan dapat berkenalan dengan Haji Hajarudin yang telah bersara wajib ketika usia 56 tahun empat tahun lalu. Kini Haji Hajarudin menyambung tugas itu secara kontrak.

Dalam usia 60 tahun Haji Haja mampu menjadi pereka kaki tiruan disamping mengajar kepada pelatih-pelatih di situ bagaimana menghasilkan anggota tiruan untuk insan-insan kurang upaya.

" Dah lama saya kat sini, banyak kisah yang saya temui", kata Haji Haja ketika memulakan bicara. Beliau begitu ramah dengan saya. Setelah saya memberitahu nama seorang rakan yang bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat di Kedah, sesi sembang kami menjadi lebih ramah kerana Haji Haja mengenalinya.

Kebanyakkan mereka yang menempah kaki dan anggota palsu lain setelah mengalami kemalangan. Paling mengkagumkan saya, ialah pelatih-pelatih di situ merupakan belia-belia OKU. Mereka membuat anggota tiruan yang ditempah oleh OKU di seluruh negara.

Ketika berada di situ dalam masa yang singkat memberi peluang kepada saya melihat bagaimana pelatih-pelatih membuat anggota tiruan. Simpati kepada mereka datang dalam hati saya. Mereka tidak minta dijadikan begitu. Namun dengan bantuan anggota palsu membolehkan mereka berdiri untuk menjalankan amali yang diberikan oleh Haji Haja. Walaupun mereka tidak mampu berdiri bagi jangkamasa lama, tetapi sudah boleh memberikan keyakinan untuk berdikari.
Melihat pelatih di situ menempuh kehidupan mereka, keinsafan yang amat mendalam lahir dalam diri saya.




15 Mei 2011

Apa kabar Cikgu?

1965:

"Siapa yang tak boleh tulis ejaan ini tak boleh keluar makan", kata seorang Cikgu wanita dalam darjah satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani. Sambil makan biskut lemak empat segi keras, dia meneguk air teh O. Saya menahan sedih sebab sedang dahaga.

1969:

Apabila motosikal Honda 50 Cikgu Hamidah memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Bukit Lembu, Sungai Lalang, Kedah semua budak sekolah yang sama darjah dengan saya memandang kepadanya. Mana tidaknya dibelakang Cikgu Hamidah tertenggek saya menjadi penumpangnya. Ramai yang kata aku anak emas Cikgu Hamidah.

1974:

Guru Sains kecil molek menyuruh kami membuka muka surat.....tetapi meninggalkan bab persenyawaan. Kami pelajar lelaki membantah kenapa tak nak ajar bab itu. Kata guru tersebut baca sendiri. Kalau tak faham nanti tanya Cikgu Ismail.

Semuanya tinggal kenangan. Selamat Hari Guru.

Kepada Jururawat

1969: Hospital Sungai Petani, Kedah:

Anak Pak Cik, Mak Cik, kena tahan di wad. itu sahaja yang saya masih ingat apabila doktor di hospital itu selesai memeriksa saya. Badannya panas teruk.

Seingat saya selepas itu saya dimandikan oleh Nurse dengan ketulan air batu, sejuk amat sangat tetapi amat selesa kerana badan saya ketika itu panas. Selepas lapan hari saya keluar namun masih tidak selesa kerana mengidap demam panas yang melampau. Selang tidak berapa lama ayah yang disayangi kembali ke Rahmatollah.

Hospital Bersalin Kuala Lumpur 1991:

"Encik Raai Osman...." laung seorang Nurse dari pintu klinik pemeriksaan ibu mengandung. "Isteri Encik tumpah darah. bawa dia ke wad kecemasan saya ikut sama".

"Maaf, kandungan isteri Encik tak dapat diselamatkan...".

19 November 1991

Hujan diluar cukup lebat, kilat sabung menyabung. Emak makin lemah. Atas pesan doktor aku mengajak Nasir jiranku memandu untuk membawa emak ke HKL. Kata Nasir, hujan lebat KL "jem". Nasir petang itu menjadi pemandu kecemasanku. Entah mengapa di pertengahan jalan, aku minta Nasir bawa emak ke Hospital Kajang.

Kebetulan di hospital Kajang doktor India juga dengan dibantu Jururawat melayu. Emak koma, emak nazak,emak berperang dengan ajalnya. Jururawat meminta aku mengambil air dan basahkan bibir emak. Kalimah Syahdah sejak dari dalam kereta tak putus-putus aku bisikkan ke telinga emak

Doktor mengambil Defibrillatoralat  (terima kasih Emma Azimah yang memberitahu nama alat ini). Terangkat dada emak. "Ahhhh....Allah huakbarr". Selalu adegan itu aku tonton di TV. Kini berlaku di depan mata. Doktor mengelengkan kepala. Jururawat tenang."Dia sudah meninggal..."

Allah maha kaya. Rahmatnya tetap diturunkan untukku. Aku tidak menangis sepanjang hari pengkebumian emak. Benar seperti kataku pada emak "saya akan merawat emak sehingga akhir hayat, kerana saya tidak mahu menyesal di hari kematian mak akibat gagal berusaha merawat emak. Janji Allah kalau mak mati saya tidak akan mengalirkan air mata.

Namun hati mana boleh bertahan, badan mana boleh bertahan. Aku hampir pengsan selepas Imam habis membaca Talkin. Ketika Imam bangun, rakan-rakan bangun. Tinggal aku di hujung kepala emak (pusara) sambil membaca Fatihah dan doa.

Ketika bangun, aku hampir pengsan. Kerana menurut kitab-kitab yang pernah dibaca oleh Ustaz-ustaz dan buku-buku yang pernah aku baca, dua malaikat telah datang memberi salam pada si mati.

Aku menjadi insaf, jasad dan roh emak telah aku serahkan kepada Allah. Dia hanya meminjamkan seorang Ibu buatku untuk melahirkan anak seperti aku. Aku hanya mampu berdoa selagi umur  masih ada.

Jika istilah Anak Yatim Piatu adalah untuk anda, anda bertuah kerana istilah itu akan menguatkan semangat anda. Kerana saya pernah menjadi Anak Yatim sejak berusia 11 tahun (1969). Jika telah datang di hadapan anda seorang Anak Yatim Piatu, anda bertuah kerana ia memberi peluang untuk anda bersedekah dengan pahala yang amat tinggi.

Al-Fatihah  untuk ibu saya, Puteh benti Mat di pusara Kampung Dato Abu Bakar Baginda.

14 Mei 2011

Ibu Ratu Hati Kita

Kisah 1:

"Bang...minta duit sikit.....". Saya menghulurkan sedikit wang kepada wanita itu dan saya pasti dia seorang wanita  yang kurang berakal. Namun pertemuan di masjid membuatkan saya berkata di dalam hati dia seorang hamba Allah yang baik.

"Anak dah tak ada...dia hisap dadah, sekarang polis jaga dia. Terima kasih Bang bagi duit ni. Mudah-mudahan Allah bagi rezeki murah esok ya....". Wanita pergi meninggalkan saya denga seribu pengertian.

Kisah 2: 

Ibu ini ketawa riang apabila membaca pesanan ringkas daripada anaknya mengucapkan selamat Hari Ibu. Wanita ini seorang isteri yang terpaksa melakukan apa saja tanpa ditemani suami. Walhal ketika mendaftar anak di sebuah kolej pun dia hanya pergi tanpa suami.

Kisah 3:

"Mak Cik sakit apa?" tanya saya kepada seorang wanita disebuah hospital ternama di Ibu Kota.
"Mak Cik sakit jiwa Nak....."

Saya tinggalkan dia dengan sedikit wang. Seperti kisah pertama tadi, wanita itu menyebut tentang doanya untuk murahkan rezeki saya.

Kisah 4:

Pada hal waktu itu terdapat banyak kereta lalu lalang ke arah UKM. Sambil meminta anak gadis saya mecatatkan nombor motosikal lelaki itu, dan saya menekan hond kereta. Namun langsung tidak diedahkan.Saya menghubungi polis untuk meminta bantuan dari segi keselamatan wanita tersebut.

Tidak lama kemudian lelaki tersebut meninggalkan wanita itu bersama anak perempuan yang berusia lebih kurang empat tahun. Perasaan simpati timbul apabila mengenangkan nasib wanita itu. Saya berhenti untuk mengetahui perkara yang sebenar.

Pada mulanya wanita itu tidak mahu bercerita namun akhirnya dia memberitahu suaminya meminjam duit Ah Long. Itu masalah keluarga yang saya tidak mahu bercerita panjang di sini.

Ketika saya sedang bertanya wanita itu, sebuah kereta berhenti. Di dalam kereta itu terdapat sepasang suami isteri yang mahu ke UKM kerana isterinya sedang membuat pengajian PhD di Fakulti Pendidikan.

Menurut mereka, apabila melihat seorang lelaki memukul wanita dengan topi keledar mereka berpusing balik untuk mengetahui perkara yang sebenar.

Saya mengambil keputusan menahan sebuah teksi dan menerang secara ringkas kepada pemandunya mengenai masalah wanita itu. Pemandu teksi, sudi membawa wanita itu dengan wang tambang saya jelaskan. Wanita itu menaiki teksi dengan sedikit sumbangan oleh suami pelajar tadi. Wanita itu pulang ke Sungai Buah dengan perasaan yang masih samar-samar kerana perangai suaminya malas bekerja dan asyik memeras keringat isteri sahaja.

Itulah drama pukul isteri yang sering saya lihat di kaca TV. Hari ini berlaku di depan mata. Anak saya mengeluh apabila saya mengatakan kalau nak cari calon suami berhati-hatilah.

10 Mei 2011

Apa yang kita harapkan?

Ketika  tiba di Pantai Tanjung Gemok, Kuala Rompin mata saya kagum melihat Laut China Selatan yang luas. Ombak memukul pantai, angin menyapa muka saya dengan lembut. Ramai rakan-rakan peserta sedang bermain air laut. Keasyikan mereka langsung tidak menghiraukan kehadiran saya, mereka jauh lebih seratus meter dari pantai sedang asyik memukat ikan bersama-sama nelayan pantai yang mahir dengan laut.

Saya gemar dengan pantai di Laut China Selatan kerana pamandangannya yang luas, air bersih dan terhindar dari aktiviti laut yang membuatkan laut tercemar dengan minyak boat dan kapal.

Tanjung Gemok terletak berhampiran Kuala Rompin, Pahang menghala ke Mersing, Johor. Oleh kerana saya tiba hampir malam dan masih letih kerana memandu selama lima jam dari Bangi, maka tidak mengendahkan laut yang tidak menghasilkan Sunsite. Maklumlah Pantai Timur akan suram waktu senja kerana ketiadaan lembayung petangnya.

Keesokkan hari selepas solat Suboh saya ke pantai sekitar pukul 6.15 pagi. Hasrat untuk melihat matahari muncul di gigi air laut tercapai. Sebenarnya saya bukan keseorangan. Ramai-ramai rakan-rakan peserta kursus fotografi turun ke pantai. Oleh kerana saya datang lewat untuk mengendalikan kursus tersebut atas sebab tugasan penting di UKM maka pagi itu sempat menyampaikan sedikit panduan kepada rakan-rakan yang berada disekitar saya.

Saya keciwa akhirnya apabila matahari bersinar terik kelihatan sampah sarap begitu banyak di persisiran pantai. Banyaknya sampah persis Sungai Langat ketika hujan lebat. Sejauh mata memandang kelihatan sampah. Pantai yang indah dengan deruan ombak sebenarnya telah tercemar. Walaupun telah ada papan tanda yang dibuat oleh Persatuan Nelayan Kampung Jawa itu namun pantai  ini telah dinodai oleh manusia. Dimana silapnya.

Rata-rata rakan berbincang masalah ini. Kami kesal dengan keadaan ini. Tempat yang cantik dan menarik untuk dikunjungi telah membosankan saya.

Bayangkan kalau untuk dijadikan lokasi fotografi maka pantai ini pada hemat saya bukan selayaknya.

 Sepatutnya persatuan nelayan mengambil inisiatif membersihkan kawasan  ini dengan mengadakan gotong royong atau kalau pantai ini di bawah majlis daerah satu langkah yang positif  perlu diambil agar pantai ini tidak menjadi kawasan pembuangan sampah.

Misalnya saya telah ke Mersing pada hari Sabtu lepas dan  sudah ada usaha dilakukan oleh Majlis Perbandaran Mersing dengan membersihkan pantai agar menjadikan pantai itu selesa. Ketika saya ke Mersing pada tahun 2009 pantainya juga dicemari oleh sampah.

 Jika kita hendak menjadikan pantai sebagi lokasi pelancongan maka faktor kebersihan hendaklah dititikberatkan.













video 
     Lihat vedio ringkas ini

09 Mei 2011

Nak Jadi Jurufoto?

Semasa Profesor Dr Kamarudin M. Said merakam gambar di sekitar Taman Negeri Endau Rompin Sabtu lepas, saya melabuhkan tubuh di pangkin yang terdapat di kafeteria berhampiran Sungai Endau. Kemudian saya terlelap, kira-kira dalam lima minit kemudian saya tersedar dan mendengar En Razak seorang pemandu pelancong di taman tersebut bersembang dengan Haji Ismail Ibrahim, rakan setugas saya di Unit Foto, Penerbit UKM.

Fotografi mampu menceritakan erti kasih sayang ibu dan anak.

Saya tidak menyampuk perbualan mereka namun dari jauh En Razak berkata, kalau macam dia orang belum layak nak jadi Photographer. Photographer kena lasak Cikgu (bahasa panggilan kepada Haji Ismail), kata En Razak. baru masuk kawasan yang kurang mencabar dah tak tahan. merungut. Makanan lewat sampai dah bersungut. Kalau nak tau macamana orang putih buat kerja tanya budak saya tu, dua minggu dalam hutan tebal buat shooting. Ini baru macam ni dah bersungut.

Itulah hakikat yang hendak saya catatkan di coretan kali ini. Unit Latihan dengan kerjasama Unit Foto, Penerbit UKM sering menganjurkan bengkel fotografi. Setiap kali apabila penganjuran ini dibuat maka tempat-tempat seperti kawasan  belantara dan pergunungan adalah pilihan utama. Namun peserta tidak lah tinggal dalam kemah dan tidur tanpa kemudahan asas. Kami menyediakan kemudahan penginapan yang menarik namun tiada kemudahan bilik bertaraf 3 atau 5 bintang. Ada waktunya bilik chalet dimasuki nyamuk. Ada waktunya halaman chalet dihuni oleh ular kapak.

Inilah hakikatnya. Peserta bukan dari kalangan staff UKM yang berjawatan Jurufoto. Pada lazimnya bengkel fotografi tidak popular seperti bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh pihak lain. Kami tidak menyediakan model-model yang cantik atau seksi.  Kami menyediakan kursus seumpama ini kerana kalau ingin menyertai kursus yang lebih menarik seperti perkahwinan, modeling sudah ada organinasi yang telah menganjurkannya di luar UKM. Kalau mereka ada masa dan modal sila sertai kursus-kursus tersebut.

Kami membawa kursus-kursus ala advance kerana matlamatnya selain mencurahkan ilmu fotografi, kami juga ingin membawa latihan ala motivasi ketahanan semangat. Harapan kami, apabila sudah berjaya menyertai kursus ini staff UKM akan balik dengan kekuatan semangat untuk bekerja sebagai Pembantu Tadbir, Juruteknik, Pensyarah dan sebagainya.

Fotografi mampu menaikkan semangat juang tetapi masih berperikemanusiaan


Disamping itu dengan bengkel yang kami anjurkan adalah diharapkan kemahiran fotografi boleh digunakan dalam tugas seharian. Ramai penyelidik yang menggunakan fotografi dalam tugasan mereka. Jadi kursus-kursus yang bermirip tugasann harian kami tekankan.

Bertugas sebagai jurufoto di jabatan kerajaan tidak sama dengan jawatan-jawatan lain dalam sektor awam. Ada waktunya memakai pakaian yang smart bertali leher dan berjeket. Ada ketikanya hanya berbaju T dan berseluar pendek di paya-paya, sungai dan laut. Kasut lasak yang berharga lebih seratus ringgit tidak layak dipakai, tapi mereka hanya memakai kasut getah yang hanya bernilai antara RM8 hingga RM12 sahaja.

Inilah hakikatnya. Kalau ada yang terkenal dikalangan orang-orang ternama itu mungkin kebetulan sahaja. Sebab ada rakan-rakan yang bukan Jurufoto pun masih dikenali oleh orang -orang seperti itu.

Fotografi dapat membawa erti belaian kasih seorang ayah


Oleh itu kalau terdapat iklan kursus yang ditawarkan maka lihat tajuknya terlebih dahulu. Kalau inginkan tilam empok berbatal gebu. Makan nasi berpinggankan yang ternama maka lupakan saja untuk menyertainya. Kami mahu apabila menyertai kursus-kursus ini  mereka akan melupai taraf dan kedudukan. Kami mahu fotogarfi akan menyatukan kita dalam satu pasukan. Sebab kami mahu fotografi menjadikan kita bersatu dalam satu kegilaan dan hilai tawa dan terlupa bahawa kita ada status dan perlu dihormati ketika berurusan ketika berada di kampus kelak!

01 Mac 2011

Mari kita buat perkara yang sama

Kisah pertama:

Hari Ahad lepas disebelah pagi saya membuat salinan kunci di sebuah kedai. Kedainya sederhana sahaja tidak seperti kedai-kedai lain di dalam komplek perniagaan yang terkenal di Bandar Baru Bangi. Kedai itu bukan sebuah kedai kunci tetapi sebuah kedai menjual bag dan berbagai barang yang menyerupai sebuah kedai runcit.

Pemilik kedai berbangsa Cina, peramah orangnya walaupun saya baru pertama kali ke situ. Menariknya pemilik kedai ketika berbual dengan saya berkata, buat apa mau gaduh-gaduh bila berniaga. Sama-sama cari makan. 

Apabila saya bertanya, orang Cina ada yang suka bergaduh dalam bidang perniagaan. Pemilik kedai itu berkata ada, tetapi sangat kurang. Kenyataan beliau mengesahkan anggapan saya sebelum ini. Ini jelas dari cara dia menerima saya sebagai pelanggan sebentar tadi apabila ada sejenis kunci, dia tidak dapat membuatnya kerana agak mahal. Namun pemilik kedai ini mencadangkan saya pergi ke sebuah kedai di Hentian Kajang. Cara dia membuat syor itu memberikan saya satu tanggapan dia tidak tamak ketika berniaga. Malahan dia membantu rakan peniaga lain untuk mencari rezeki.

Sebelum ini saya pernah melihat pemilik kedai ini memiliki  pekerja dari kalangan OKU. Ketika ditanya perkara yang berkaitan beliau berkata, "Dia orang pun nak hidup. Saya bagi dia orang bekerja walaupun ada kekurangan. Hari ini saya bagi cuti".

Memberi makan kepada orang yang memerlukan
satu amalan mulia mulia (gambar hiasan)


Kisah kedua:

Hari Ahad yang sama disebelah malam: Kisahnya pendek sahaja apabila saya diberitahu oleh seorang pelajar ketika menjamu selera di kantin sebuah kolej kediaman di IPTA  ternama bahawa pemilik kantin itu begitu pemurah apabila memberi makan kepada pelajar miskin. 

Caranya dengan mencari nama-nama pelajar berkenaan di Unit Kaunseling dan menyediakan kupon makan percuma.Cuba kita bayangkan begitu pemurah beliau dalam mencari rezeki Allah.

Saya mencatatkan dua kisah ini untuk renungan bersama dan mengharapkan kita dapat melakukan perkara yang serupa dalam bidang yang kita mampu. kebajikan boleh dilakukan oleh semua orang dan tidak mengira apa bangsa.

06 Februari 2011

Pengemis dan Anda

Izinkan saya menulis mengenai pengemis. Andai anda berfikir disebaliknya itu saya tidak dapat menghalangnya. Tetapi apa yang hendak ditulis di laman ini adalah realiti yang  berlaku di depan mata saya. 

Kalau sebelum ini saya pernah menulis mengenai kanak-kanak yang dipergunakan oleh sendiket tertentu sudah tentu ada orang yang menyalah anggap. Saya tahu orang miskin memberi faedah kepada orang kaya, manakala orang kaya akan memberi faedah kepada orang miskin.

Orang miskin berdoa untuk rezeki orang kaya setelah memberi sedekah. Manakala orang kaya berdoa kepada orang miskin agar cepat menjadi senang atau kaya agar dapat membantu orang miskin lain.

Kita mempunyai baitulmal dan pusat zakat, namun ada pengusaha rumah-anak-anak yatim dan orang-orang tua berkata ianya tidak mencukupi. Ada maklumat yang saya perolehi bahawa sesebuah pertubuhan anak yatim memerlukan lebih dari duabelas ribu ringgit setiap bulan. Namun mereka menghadapi kesukaran kerana anggapan orang ramai terhadap kegiatan mereka amat negatif angkara ada pihak yang menipu.


Saya tidak mahu menuduh atau mengelak dari memberi derma tapi cuba ikuti apa yang hendak saya paparkan seperti berikut:

Situasi pertama: 

Sering kali saya didatangi warga asing dengan membawa album gambar yang menunjukkan suasana kemelaratan di negaranya. Suatu hari disebuah klinik dua individu yang saya maksudkan telah datang dengan membawa surat dari pejabat Mufti Perak. Sedangkan lokasinya di Bangi, Selangor. Ketika saya masuk untuk menerima rawatan, doktor berkata dia pernah memberi RM50. Kemudian datang pasangannya meminta dengan nilai yang sama.

Apabila saya keluar dari klinik dan menghubungi polis, warga asing ini melarikan diri. Dua hari kemudian ketika saya sedang menunggu anak di sekolah petang dua warga asing yang sama telah ditahan oleh seorang pegawai Imegerisen. Kemudian dua warga asing tersebut telah dibawa polis ke balai polis Sepang. Sehingga sekarang wajah warga asing itu tidak pernah saya temui lagi.

Situasi kedua:

Minggu saya singgah di Masjid UKM untuk bersolat Asar. Saya dapati seorang warga asing sedang menunjukkan album gambar mengenai kesusahan orang-orang ditempatnya kepada seorang pelajar lelaki. Selesai bersolat, saya keluar dan duduk disebelah warga asing itu. Apabila saya menelefon pihak keselamatan UKM untuk membuat laporan mengenai dua individu tersebut, tiba-tiba mereka bangun dan menghilangkan diri. Sedangkan saya menggunakan bahasa Melayu. Saya fikir mereka faham. Kalau mereka jujur kenapa melarikan diri? Pengawal keselamatan yang datang sepuluh minit kemudian telah saya maklumkan perkara ini.

Situasi ketiga:

Sedang saya menjamu selera datang seorang lelaki India Muslim. Membawa kad bertulis ayat berupa doa. (kejadian yang sama pernah saya alami di Hentian R&R Seremban arah selatan). Lelaki ini berkata dalam bahasa arab " Ini percuma (kad) dan ini tasbih dari Mekah" sambil menunjukkan kakinya yang bengkak. Pada hemat saya apa perlunya dia menjual tasbih sambil menunjukkan kakinya yang bengkak. Sudah tentu ia ingin meminta sedekah.

Akhirnya saya berkata "Syukran" kerana bermurah hati memberi percuma kad doa (yang saya tidak ambil pun), saya mengakhiri ayat "Sadaqallah Al Azim" lelaki itu beredar ke meja lain yang juga tidak percaya dengan gelagatnya.

Kami sekeluarga melihat lelaki itu yang kemudian menahan teksi bersama dua lelaki India (mungkin Muslim). Pada anggapan kami hebat lelaki itu walaupun dia pengemis tetapi mampu menyewa teksi.

Situasi keempat:

Malam Jumaat lepas (3hb Feb 2011) saya sekeluarga sedang makan di Kajang. Datang seorang lelaki  bertongkat dan kudung kaki. Saya pernah menemui lelaki ini sepuluh tahun lalu dengan gaya yang sama di Kampung Dato Abu Bakar Baginda dekat pusat-pusat latihan Bangi.

Mungkin Allah ingin menguji saya, hari ini (5 Feb) datang lagi lelaki yang sama sebelum lelaki India Muslim tadi. Lelaki ini seperti cam wajah saya kerana saya sedang makan bersama keluarga.

Saya pernah melihat lelaki ini balik dengan seorang lelaki lain dengan menaiki sebuah kereta sepuluh tahun lalu. Oleh itu keyakinan terhadapnya telah pudar.

Dalam kes OKU ini saya masih teringat adegan iklan Merdeka yang dilakonkan oleh Othman Hafsham seorang lelaki kudung dan memiliki kereta mewah. Adegan itu mengajar kita berusaha (bukan mengemis) biar pun OKU.

Saya ada seorang rakan Saudara Baru yang mengusahkan bengkel kereta. Ketika beliau baru memeluk Islam dia memperolehi bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan orang-orang kaya sekitar tempatnya. Selepas bengkelnya maju, menurut rakan saya beliau pula membayar zakat kepada Pusat Zakat Selangor.

Tulisan ini mungkin memberi anggapan yang berbagai, namun inilah hakikatnya. Masih ramai antara kita tidak mahu memandang atau membantu pengemis ini kerana mereka hilang kepercayaan setelah membaca kisah-kisah kekayaan mereka. Rakyat kita terlalu pemurah sehinggakan jikalau ada individu yang tidak membantu akan dipandang serong.

Kisah begini pernah dilakonkan oleh Seniman P. Ramlee dalam adengan ditipu oleh seorang gadis cantik di sebuah restoran dalam filemnya  Bujang Lapok.

Saya pernah bertemu seorang wanita tua di sebuah hospital ketika menunggu giliran mengambil ubat. Wanita ini meminta wang. Saya memberikan wang tersebut dan kemudian bertanya apa sakitnya. Wanita itu memberitahu dia sakit jiwa. Saya puas sebab kecelaruan akalnya lebih mudah saya percaya.

Saya lebih percaya kepada individu yang membawa tabung dan surat pengesahan jabatan agama memungut derma bagi membina masjid atau surau. Kerana mereka melampirkan surat yang disahkan dan nombor telefon untuk dihubungi.


Apa boleh kita lakukan, kecuali hanya gerak hati. Kalau hati kita berkata tidak mahu memberi maka itu ada keikhlasan kita. Sebab andai kita memberi hanya untuk mengelak orang sekeliling mengata kita kedekut, sedangkan kita berat untuk memberi maka itu lebih berat rasa saya.

Pada hemat saya sekiranya ketika kita membuat keputusan untuk memberi tanpa apa-apa  alasan, sudah tentu itu adalah cermin hati kita. Cuma kalau tidak mahu memberi jangan menolak dengan kasar. Kerana kehadirannya adalah ujian Allah untuk kita di hadapan keluarga dan orang ramai.Keempat

Artikel yang berkaitan: Pertama Kedua Ketiga Keempat

21 Januari 2011

Di suatu sudut sebuah restoran

Apalah salahnya membenarkan seorang sukarelawan rumah anak-anak yatim  dan orang-orang tua memungut derma di suatu tempat awam? Kalau alasannya kerana tidak meminta kebenaran, tetapi sudah agak lama beliau berada di situ. Tiba-tiba dia hilang dan setelah saya bertemu dengan ustaz yang menjadi sukarelawan itu memberitahu pengurusan tempat bangunan lama tidak membenarkan dia menjalankan kegiatan tersebut.

Adakah kerana ada pihak-pihak yang tidak senang hati dengan kegiatannya menyebabkan pihak berkuasa bangunan berkenaan "menghalau" sukarelawan itu. Sedangkan saya pernah berbual dengan sukarelawan tersebut mereka memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk makan minum serta kegiatan anak-anak yatim dan orang-orang tua.

Ketika bertemu seorang kakitangan yang berkuasa keatas bangunan (permis ) tersebut memberitahu saya bahawa sukarelawan itu tidak membuat permohonan kepada pihak pengurusannya. Kata saya janganlah salah anggap dengan orang itu sebab dia memungut derma untuk  anak-anak yatim dan orang-orang tua. Kasihan orang-orang susah itu. Kasihan juga kepada penderma-penderma.

Kata saya kepada rakan tersebut, "aku pernah menjadi anak yatim sejak berumur 11 tahun, jadi aku tahu bagaimana nasib mereka".

"Apa salahnya kita membenarkan kegiatan itu demi memperolehi sedikit rahmat setelah ada orang yang bermurah hati membuat derma/sedekah...?"

Saya berkata lagi kalau kegiatan kanak-kanak yang menjual kalendar dan minyak-minyak angin itu tak apalah sebab ia di pergunakan oleh satu sindiket yang tidak bertanggungjawab. Tetapi yang saya sentuh  ini adalah sukarelawan yang telah saya selidik latarbelakangnya

05 Januari 2011

Menoleh kembali ke arah belakang

Ketika saya memandu di daerah pendalaman Kedah pada 27 Disember 2010 lalu anak sulung saya berkata, " ayah bercerita kisah-kisah lama macam kelakar". Saya bertanya balik, "apa Along dan adik-adik tak percaya ke? Kalau tak percaya, malam ni cuba tanya Pak Ngah Wahid betul ke tidak cerita ayah ni". Adik-adiknya menyahut, " percaya...."

Apa tidaknya, saya bercerita kisah-kisah yang berlaku 30 dan 40 tahun lalu. Kisah ketika saya berada di daerah ini (Sik). Kisah pergi sekolah pukul 5 pagi dari Kampung Sungai Batang (kini Tasik Beris).

Namun mereka teruja apabila saya berhenti untuk seketika di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sik. Satu-satunya sekolah yang ada di Sik sekitar tahun 1970an. Walaupun saya tidak masuk ke perkarangan sekolah, namun dari luar saya masih dapat mengamit memori tahun 1970-1975. Kisah saya menjaga jalanraya bersama rakan-rakan. Kisah Kebawah Duli Sultan Kedah berangkat ke sekolah itu. Waktu itu majlis itu cukup hebat. Maklumlah Sultan yang kita sayangi hadir mencemar duli ke sekolah yang jauh dari Bandar Alor Setar.

Kisah saya dan rakan-rakan pengakap berkhemah bersama pandu puteri. Masih saya ingat gelagat Zaki Din, Osman Nawang, Marzuki Zainol, Rosli Deraksa, Norlia Daud, Razak Hashim, Razak Salleh. Oh ramai lagi.Pernah rakan-rakan ini datang lewat, tak pakai lencana sekolah, pakai kasut tetapi tanpa sarung kaki. Saya pernah menjadi pengawas sekolah. Guru pengawasnya Cikgu Abdullah Ahmad. Bila membuat duty mingguan saya pernah jadi ketua. Kalau rakan-rakan sekolah tak pakai sarung kaki, mereka kena denda menulis karangan dalam seribu ayat "Esuk saya akan memakai sarung kaki" atau "esuk saya akan memakai lencana sekolah"

Tapi kalau saya memberi denda ini rakan-rakan sekolah tidak pernah membalas dendam. Belum pernah saya lihat kereta atau vespa Cikgu Lah dipancitkan. Kalau mendengar nama Cikgu Lah semua orang akan kecut perut. Saya bukan tidak pernah kena denda dengan Cikgu Lah tetapi tidak pernah berdendam dengan beliau.

Masih ingat rakan saya Norlia, bila dia masuk di kelas memasak pastinya kami akan makan masakannya. Cikgu Harun pernah bagi rakan saya guna vespanya. Yalah masa tu kalau cikgu pakai vespa dah kira gah. Ingat lagi Cikgu Lee (orang Pulau Pinang) menjual t shirt habis anak muridnya membeli. Akal peniaga ada padanya. Itulah sekolah yang tidak dapat saya lupai. Itulah rakan-rakan yang pernah saya gauli. Razak Hashim pernah kena rotan dengan Cikgu Lah akibat salah faham dengan saya, namun hingga kini menjadi rakan karib dan Facebook saya dan Cikgu Lah.

Kalau cerita pasal rokok, budak-budak sekolah zaman tu ada juga yang merokok, tetapi masih "menghormati guru" dengan tidak merokok di kawasan sekolah. Kalau merokok juga sudah pasti akan menjadi mangsa Guru Besar, Cikgu Rahman yang terkenal dengan rotannya. Kalau sebut rotan Cikgu Rahman semua budak-budak kecut perut. Baik lelaki mahu perempuan. Mana tidaknya rotan beliau dipegang dibelakangnya dengan berjalan mengilas tangan.

Jikalau kami kena rotan tidak pernah budak-budak samseng datang menyerang sekolah. Seingat saya, belum pernah ada anggota polis masuk sekolah, kerana kuasa guru ketika itu macam polis.

Rugikah saya menceritakan kisah silam? Anak saya berkata tidak. Malah, saya menjadi seperti tukang cerita dalam kisah dongeng lama. Kita sedia maklum kisah lisan lebih berkesan dari cara penceritaan lain. Ketika saya tiba di Telaga Batu, Sik saya menceritakan bahawa 40 tahun dahulu kawasan itu amat merbahaya. Kalau sudah pukul 4 petang tidak ramai pemandu teksi yang mahu ke kawasan pedalaman. Apa tidaknya ketika itu komunis boleh muncul di atas jalanraya. Namun sepanjang perjalanan saya dari Sik menerusi Tasik Beris, Gulau, Nami, Pokok Sena, Langgar tidak terfikir oleh anak-anak saya bahawa suatu ketika dulu pernah wira-wira negara (anggota keselamatan kita) yang telah diserang hendap. Ramai yang terkorban. Itulah jalan yang pernah menjadi kawasan perintah berkurung suatu ketika dulu sekitar tahun 1960-1980an.

Membawa anak remaja yang sudah faham erti kehidupan maka saya akan memperolehi maklumat sebenar perasaan mereka apabila anak sulung berkata " pening kepala kakak kalau hidup di sini, tak ada restoran makanan segera, tiada shoping kompleks". Namun saya lebih suspend apabila sepanjang pemanduan dari Pekan Sik hingga ke Pekan Pokok Sena tiada petrol pump. Bayangkan kalau minyak kering?

Walau bagaimanapun daerah pedalaman Kedah kini tidak seperti dulu kerana semua kampung telah dibekalkan dengan letrik dan air yang bersih. Cuma kalau kemudahan yang nikmati oleh remaja bandar tiada di sini maka itulah kelebihannya sebagai identiti sebuah desa!

Kenapa saya mencatatkan kisah ini? Pada saya daerah ini masih mengekalkan keindahan semulajadinya. Namun tidak lagi mundur seperti 30 tahun dulu. Justeru keasliannya harus dikekalkan kerana masih ramai masyarakat yang impikan suasana begini. Biarkan daerah sebegini dilawati sesekali agar masyarakat tidak lupa tempat asal usulnya.    Lihat album percutian saya

27 Januari 2010

Kalau dah rezeki

Saya bertemu dengan Kahar secara kebetulan di sebuah kedai runcit ketika dia sedang membetulkan motosikalnya. Di atas tempat duduk motosikalnya terdapat sebuah mesin basuh. Kahar memberitahu mesin basuh itu diambil dari rumah orang untuk dibaiki. Saya berminat berbincang dengan beliau kerana di rumah terdapat sebuah mesin basuh yang perlu dibaiki.

Disebelah malam Kahar datang ke rumah saya untuk mengambil mesin basuh yang hendak dibaiki. Apa yang menarik untuk saya ketengahkan di sini ialah sikapnya yang ingin berdikari dengan caranya bagi menyara hidup. Kata Kahar kepada saya, beliau tidak mencuri, yang penting dia mendapat rezeki yang halal.

Hari ini, hanya dua hari mesin basuh saya telah siap dibaiki dan dihantar ke rumah dengan kos penyelenggaraan yang berpatutan.

Ketika menghulurkan wang upah dan kos membaiki mesin basuh saya memuji beliau kerana dapat membaiki mesin saya dalam tempoh yang begitu singkat. Saya tahu, dia harus memcari rezeki dalam masa terdekat untuk hidup. Namun azamnya untuk membuka sebuah kedai harus disokong.

Setelah Kahar meninggalkan rumah, saya berfikir, kalau ada peniaga yang berfikiran dan bersikap sepertinya sudah pasti melayu boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Kahar telah memberikan keutamaan yang istimewa kepada pelanggannya.

23 Januari 2010

Anak Yatim dan Orang-Orang Tua


Sudah menjadi perkara biasa apabila berjalan-jalan di mana-mana sahaja kita akan bertemu dengan kumpulan atau individu membawa tabung atau surat meminta derma atau sedekah untuk tabung anak-anak yatim dan orang-orang tua.


Saya ingin memetik satu tulisan; "Rasulullah SAW bersabda dalam hadits yang sangat banyak tentang anjuran bersedekah. Salah satu hadits yang dikemukakan oleh Imam Ali kw, Rasulullah SAW bersabda, “Barang yang disedekahkan apabila telah lepas dari yang memberi, ketika akan sampai pada tangan penerima, dia mengucapkan lima kalimat.....(baca seterusnya di blog berikut Sila klik ).

Kenapa masih wujud kumpulan atau individu seperti ini?

Sabtu lepas saya sempat berbual dengan sorang Ustaz yang sudah dikenali sekian lama membuat kutipan sedekah di Bangi.

Menguruskan Rumah Anak-Anak Yatim dan Orang-Orang Tua banyak cabarannya menurut Ustaz Ismail (bukan nama sebenar).

"Walaupun kerajaan ada membantu, namun kami perlu mencari sendiri untuk menampung keperluan mereka ", kata Ustaz Ismail.

Menurut Ustaz Ismail, anak-anak yatim ini akan dihantar ke sekolah untuk memperolehi pendidikan mereka. Wang saku sebanyak RM2.00 akan dibekalkan. Belanja menguruskan keperluan harian anak-anak yatim dan orang-orang tua dalam lingkungan RM13 ribu sebulan. Justeru belanja menguruskan akan dipenuhi dengan berbagai kaedah yang sah di sisi undang-undang negara.

" Kami tidak mengadakan program peniagaan kepada anak-anak yatim. Kami tidak mahu anak-anak ini leka dengan kesenangan apabila sudah pandai mencari wang. Apabila sudah pandai mencari wang kami kuatir anak-anak ini akan terjebak dengan aktiviti tidak baik", terang Ustaz Ismail.

Beliau bersyukur kerana terdapat individu-individu yang memberi sumbangan berbentuk wang, tanah untuk diwakafkan di rumah anak-anak yatim kelolaannya.

Namun, Ustaz Ismail melahirkan rasa kesal dan keciwa apabila beliau dikaitkan dengan kumpulan yang menggunakan anak-anak yatim untuk menjual beberapa produk di tempat-tempat awam. Malahan terdapat orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan untuk mengumpul wang dengan menggunakan nama anak yatim.

Beliau selaku penggerak kerja-kerja amal ini pernah menyiasat kegiatan mereka dan terbukti mereka memang mempergunakan anak yatim dan orang-orang tua untuk menghalalkan cara. Menurut Ustaz Ismail, beliau pernah didatangi oleh pihak berkuasa, namun kerjanya mengikut peraturan yang betul maka terselamat dari tindakkan undang-undang.

Selama 30 minit berbual dengan Ustaz Ismail saya dapat melihat bagaimana keberkatan usaha beliau. Terdapat sebuah keluarga yang menghulurkan sedekah menerusi dua orang mereka. Pada fikiran saya matlamat ayah dan ibu anak-anak itu ialah dengan harapan agar Allah tidak menjadikan anaknya sebagai anak yatim. Disamping itu keluarga itu ingin mendidik anak-anaknya agar prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Sambil menghidupkan enjin kereta, saya mengangkat tangan selamat tinggal kepada Ustaz Ismail sambil bersyukur walaupun empat puluh satu tahun dahulu pernah menjadi anak yatim selepas kematian ayah, kini hasil rezeki yang ada mampu menghulurkan sedikit bantuan untuk adik-adik yang senasib saya. Mudah-mudahan kehidupan kita dihari tua selesa dan bahagia.

Pautan berkaitan Haruskah begini




28 Disember 2009

Sekali lagi! Bila lagi agaknya?


Kemalangan bas express yang melibat 10 orang terkorban di Ipoh mengejutkan Polis, Bomba, RELA, petugas hospital, wartawan. Sebenarnya lebih mengejutkan lagi ialah keluarga mangsa yang terlibat. Bagaimana dengan pemandu bas express?

Kemalangan melibatkan nyawa seramai 10 orang bukan boleh dibuat main-main. Seorang pemandu yang hanya melanggar seekor ayam atau kucing boleh trauma seminggu. Inikan pula 10 orang.

Sesiapa sahaja yang pernah bertemu bas perjalanan jauh di lebuhraya mungkin sering bertemu dengan pamandunya yang memandu laju. Maaf kepada yang tidak memandu begitu.

Saya pernah memberi laluan kepada sebuah bas yang dipandu laju di belakang kereta saya. Saya pernah melihat sebuah bas membunyikan hon kepada sebuah kenderaan dilebuhraya sedangkan kereta tersebut memandu di lorong tengah.

Saya pernah menaiki bas dari Guar Chempedak, Kedah pada suatu malam. Selepas bas tersebut mengambil penumpang di Sungai Petani, Kedah bas tersebut hanya berhenti rehat di R&R Tapah, Ipoh. Bayangkan waktu itu saya baru tersedar tidur sejak bas meninggalkan pekan Sungai Petani.

Jikalau hendak diriwayatkan kisah bas express memang banyak. Malahan anak saudara saya pernah menegur seorang pemandu bas yang memandu dalam keadaan mengantuk. Senario ini memang menggusarkan ibu bapa yang menghantar anak-anak balik ke asrama atau ke mana-mana pusat pengajian.

Memandu sudah tentu banyak risiko. Seorang atau ramai. Inikan pula membawa penumpang lebih 20 orang.

Saya pernah diberitahu, bas-bas express mempunyai kuasa turbo. Sebab itu kebanyakkan bas-bas tersebut mampu dipandu laju. Namun harus kita ingat kuasa turbo itu hanya untuk memudahkan mereka mendaki bukit.

Pernah seorang rakan memberitahu, beliau memandu bas seorang diri dari Johor Bahru ke Pulau Pinang membawa pelancong dari China. Saya bertanya rakan tersebut tak mengantuk? Kata rakan saya mengantuk memang mengantuk tetapi kena usaha juga kerana syarikat ingin untung tanpa menyediakan pemandu gantian.

Kita faham kalau berlaku kemalangan antara sebab ialah kecuaian. Tidak dapat lari juga untuk dikaitkan dengan takdir. Namun saya fikir kenapa kita yang beragama Islam menggunakan kaedah agama yang ada?

Andai perjalanan pukul 9 malam, pemandu bas mungkin boleh memulakan perjalanan dengan solat hajat dua rakaat, berdoa dan sebagainya demi memohon perlindungan Allah!

Mungkin ada orang berkata "ah kalau nak maut, maut juga". Itu betul, bukankah itu keadah kita. Mana tau kalau berlaku kemalangan pun, tidak lah melibatkan seramai 10 orang. Sebab ada kes-kes yang melibatkan bayangan "hantu" (dakwaan sesetengah pemandu). Namun dakwaan itu tidak laku di mahkamah. Justeru berusahalah dengan memohon pertolongan Allah. Kalau tidak, mana mungkin kita diajar dengan doa memulakan perjalanan?

Kita tidak mahu kejadian "sekali lagi" berlaku melibat kemalangan. Paling menyedihkan ada pula dailog "bila lagi agaknya?" kemalangan ngeri berlaku.

Pada hemat saya bukan sahaja keluarga terlibat yang akan menitiskan air mata melihat keluarga mereka menjadi mangsa. Pada hal pegawai polis dan anggota penyelamat lain juga melihat kejadian itu terlebih dulu menitis air mata namun mereka tetap menjalankan tugas demi kerjaya.

Penumpang harus peka dengan sikap pemandu bas. Mereka boleh menegur. Penumpang membayar harga perjalanan untuk selesa dan selamat sampai ke destinasi. Kepada anda yang akan menggunakan perkhidmatan bas samada perlu atau terpaksa maka ingatlah pesan saya kita ada hak untuk menegur pemadu bas kerana dia dibayar gaji untuk kita.

Mungkin penumpang boleh menggunakan khidmat polis peronda untuk menelefon dan memberitahu kepada mereka andainya pemandu itu degil. Semua ini sekadar berusaha sahaja.

19 Disember 2009

Di mana Nana?

Dia sepatutnya menghadiri kuliah seorang Profesor pada pukul 11 pagi. Namun beliau datang berjumpa saya terlebih dahulu. Saya pasti perbualan saya tidak patut diketahui oleh orang lain maka saya membawa dia ke bilik seminar yang berdindingkan cermin.

Nana (bukan nama sebenar) tidak hadir kuliah seni foto saya selama 10 kali dari 14 kali. Mengikut peraturan dia wajib saya halang daripada mengambil peperiksaan. Namun sikapnya yang masih menghormati saya dan datang mencurahkan masalah maka saya harus memberikan dia pertimbangan yang adil. Perbualan dimulakan dengan tenang. Namun lama kelamaan saya lihat air jenih bergenang di kelopak matanya. Matanya semakin bersinar kerana air itu.

Nana menghadapi satu masalah yang besar. Saya agak hilang pertimbangan apabila dia memberitahu sesuatu yang sukar saya dengar. Saya mendengar pengakuan itu seolah dari seorang adik atau anak perempuan! Namun saya harus melayannya secara professional kerana saya staff universiti dan dia adalah pelajar (pelanggan).

"Saya protes ayah dan emak kerana kes pak cik saya yang dikenakan hukuman penjara 20 tahun kerana mengedar dadah".

'Saya sayangkan pak cik kerana dia amat baik dengan saya. Namun ayah tidak memperdulikan pak cik sepanjang perbicaraan berlangsung".

"Saya keciwa Encik. Kalau pak cik bersalah pun janganlah ayah buat begitu".

"Saya tidak hadir kuliah setiap Sabtu kerana pergi penjara berjumpa pak cik. Saya tak boleh belajar selepas pak cik dipenjarakan. Pak cik banyak membantu saya sepanjang saya bersekolah dan masuk U".

"Saya merajuk dan sudah lama tak balik rumah. Saya protes dan saya pergi kelab malam. Saya dah di....... oleh beberapa orang lelaki Encik. Saya diperlakukan begitu semasa saya mabuk!"

Saya tergamam. Fikir saya, masakan Nana nak berbohong bila menyentuh kehormatannya. Nana mungkin telah berfikir masak-masak ketika hendak menceritakan masalah itu dihadapan seorang lelaki seperti saya yang seusia ayahnya?

Nana berkata dia nak gantung kursus saya pada semester depan. Malahan kursus lain di universiti. Namun saya menasihatinya agar jangan berbuat demikian demi masa depan.

Namun pada awal semester kedua Nana tidak hadir sepanjang pengajian. Rakan karibnya memberitahu, kursus lain juga dia tidak hadir. Pada fikiran saya Nana sudah berpatah arang. Kesian Nana yang menjadi mangsa keadaan. Nana rosak kerana kasih sayang. Namun perasaan Nana tidak difahami oleh keluarganya.

Di mana Nana, mungkinkah dia masih berulang ke penjara bertemu pak ciknya untuk tempuh 20 tahun? Atau di mana Nana?




18 Disember 2009

Hidayah yang syahdu

1 Muharram 1431

Kali terakhir saya dipertemukan dengan Ariff ialah semasa dia datang untuk menjemput ke majlis perkahiwinannya dengan seorang gadis dari Kelantan. Ariff memberitahu saya neneknya berpesan agar menjaga bakal isterinya baik-baik.

Saya teringat Ariff sempena Maal Hijrah 1431. Kisah beliau sudah lama ingin dicatatkan dimana-mana terutama setelah terbinanya blog ini.Namun ketika itu keadaan Ariff belum stabil maka saya biarkan sahaja.

Kenapa Ariff yang harus saya catatkan kisahnya?

Kisahnya bermula kira-kira lima tahun lalu ketika cuti pertengahan semester. Dia pelajar saya untuk kursus seni foto. Kekeliruan timbul apabila saya membuat semakan daftar nama pelajar ketika musim peperiksaan.Nama di dalam slip peperiksaan lain dan nama dalam daftar kehadiran tidak sama.

Akhirnya semasa semester kedua dibuka semula, Ariff memberitahu saya nama sebenarnya seperti di dalam slip peperiksaan. Manakala dalam daftar kehadiran adalah nama Islamnya.

Saya harus merahsiakan negari asal Ariff dan agama asalnya. Namun saya ingin membawa beberapa kisah syahdu yang berlaku sebelum dan selepas beliau memeluk Islam.

Ariff memeluk Islam di masjid universiti yang diuruskan oleh Ustaz Sobri. Sebelum Ariff memeluk islam, berbagai dugaan cuba menghalangnya. Namun pada satu hari selepas Maqrib beliau bertemu Ustaz Sobri. Akhirnya Ariff  selamat diislamkan.

"Saya merasai amat berlainan sekali setelah selesai diislamkan. Perasaan itu belum pernah dirasainya sebelum ini", terang Ariff.

Suatu hari beliau baru pulang dari masjid menunaikan solat Zohur, ibu Ariff telah menelefonnya bertanyakan sudah bersolat ke belum. Ariff menjawab sudah. Dalam contact ini ibunya bertanyakan solat dalam agama asal, namun Ariff menjawab dalam contact solat Zohur!

Ketika pulang ke kampung dengan kapalterbang dan tiba di sana beliau telah dibawa oleh ayahnya makan tengahari di kedai yang menyediakan makanan tidak halal. Ariff memberi alasan masih kenyang kerana makan di dalam kapalterbang sebelum itu. Sebenarnya menurut Ariff ayahnya ingin menguji taraf keislamannya. Kerana menurut Ariff , ayahnya sudah tahu dia telah memeluk Islam.

Begitu juga semasa keluarganya ke tempat ibadah. Ilham tiba-tiba datang dan Ariff memberitahu dia hendak menunaikan hajat di bilik air. Setelah keluarganya selesai menunaikan upacara agama mereka Ariff keluar dari bilik air.

Airff pernah menceritakan suatu hari di bulan Ramadan, neneknya bertanya "kamu tidak berbuka puasa?". Ariff pun pergi menjamah sedikit makanan untuk berbuka puasa.

"Sekejap sahaja kamu berbuka puasa?" tanya neneknya.
"Ya, kami makan bukan banyak sekadar memisahkan antara buka dari puasa sahaja", jawab Ariff.

Rupa-rupanya keluarga Ariff telah mengetahui dia telah memeluk Islam. Kata Ariff kita perlu menggunakan cara yang berhemah untuk memberitahu keluarga.

Saya banyak membantu beliau dalam mengekalkan semangatnya sepanjang beliau berada di universiti. Baliau sering bertemu saya sambil-sambil minum kami berbincang tentang Islam. Ariff mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai Islam. Malahan beliau pernah memohon untuk belajar di Madinah, namun gagal.

Sepanjang saya mengenali Ariff  saya perhatikan dia banyak dinaungi oleh cahaya Ilahi. Kerana banyak peristiwa yang diceritakan kepada saya dia banyak diuji untuk kembali kepada agama asal. Namun tetaplah janji Allah jika kita menjaga agamanya, Allah pasti menjaga kita.

Kita yang menerima Islam sejak lahir bagaimana?


22 November 2009

Wang tabung

Seorang rakan saya telah minum di sebuah restoran. Kebiasaan restoran terdapat tabung derma kebajikan untuk mana-mana pertubuhan.

Apa yang menjadi persoalan ialah apabila rakan saya menceritakan bahawa ketika hendak membayar setelah selesai menjamu selera, pekedai itu telah membuka tabung tersebut untuk memperolehi wang kecil.

Timbul tandatanya kenapa harus dibuka tabung tersebut kalau hendak mendapatkan wang siling. Disini sudah tentu timbul jawapan bahawa apabila setiap pelanggan membayar dan memiliki wang lebih katakan lima puluh sen dan memasukkan ke dalam tabung tersebut. hasilnya katakan pelanggan mengeluarkan RM10 dan wang lebihan lima puluh sen sudah tentu pemilik restoran itu memperolehi laba.

Atau, pemilik restoran itu telah memecah amanah hasil kutipan dari tabun tersebut yang boleh dibuka pada bila-bila masa.

06 November 2009

Harga barang di Taman Negara Pahang


Kasut yang paling sesuai untuk bekerja di sungai

Minggu lepas (30hb Oktober-1 November 2009) saya bersama sembilan lagi peserta ke Taman Negara Pahang untuk satu tugasan merakam gambar. Taman Negara Pahang merupakan satu lokasi pelancongan yang menarik bagi anda yang sukakan alam sekitar yang hijau, damai dan sunyi.


Tanggapan awal hasil pengalaman Kamarul dan Ismail bahawa mungkin kurang terdapat kedai di sana maka saya dan beberapa orang rakan telah menyediakan beberapa bungkus biskut kerana kuatir tentang harga barang yang mungkin mahal.

Namun andaian itu salah apabila tiba di sana terdapat kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan seperti kedai runcit dan cenderamata.

Oleh kerana tugasan kami akan mengharungi sungai maka saya mencadangkan kepada rakan-rakan menggunakan kasut plastik yang murah. Harga kasut tersebut saya pernah beli hanya dalam lingkungan RM 5 sahaja.


Ketua saya Prof Dr. Kamarudin pada malam kedua telah membeli sepasang kasut dengan harga RM12. Selepas itu rakan-rakan saya yang lain terpengaruh untuk membeli kasut itu, cuma mereka bernasib baik dapat membeli dengan harga cuma RM8.50.

Saya mula terfikir bagaimana dengan jarak kedai tidak sampai 100 meter boleh menjual kasut pada harga yang berbeza.

Malam terakhir Prof Kamarudin membeli sekeping logo Taman Negara dengan harga RM10. Oleh kerana saya berminat dengan logo itu maka saya membelinya dengan harga cuma RM8! Saya bertanya pekedai kenapanya berbeza, beliau menjawab logo yang dibeli oleh Bos saya berlainan jenis. Namun apabila saya membuat perbandingan, logo tersebut 100% serupa dengan logo yang dibeli oleh Prof Kamarudin.

Keesokan harinya saya dibisikkan oleh Prof Kamarudin "Raai kat kedai bawah tu logo yang kita beli cuma RM5". Saya dan rakan-rakan lain terkejut kerana 50% lebih murah daripada harga yang dibeli oleh Bos kami. Akhirnya rakan saya Hj Ismail membeli 6 keping dengan harga cuma RM30 sahaja.

Pada hemat saya, harga barang yang tinggi di tempat pelancongan yang jauh dari pusat bandar adalah munasabah kerana ianya bergantung dari segi logistik. Namun harga barang yang berbeza diantara sebuah kedai di lokasi sama tidak harus berlaku.

Contoh harga air mineral di Pulau Dayang Bunting, Langkawi RM2 boleh diterima kerana menurut penjaga kedainya beliau perlu membayar sewa sampan RM200 sehari bagi membawa keperluan kedainya.

Seharusnya peniaga-peniaga perlu mengubah cara meletakkan harga demi memurnikan hubungan mereka dengan pelancong. Jangan jadikan satu kenangan pahit itu dibawa balik oleh pelancong untuk tatapan orang lain.

Pihak berwajib seharusnya memantau harga barang agar kejadian seperti yang kami alami tidak berulang lagi.

18 Jun 2009

Makan, kawan dan kemesraan

Sebelum pukul 12 tengahari semalam saya menerima panggilan telefon daripada Kamaluddin. Rakan sekolah, rakan sekampung di Sungai Batang, Sik, Kedah. Walaupun dia muda setahun, namun perbezaan umur hanya setahun kami macam sebaya. Tambahan kedewasaan kami menjadikan faktor umur tidak ketara.

Kamaluddin (selepas ini saya akan sebut sebagai Din sahaja) kalau lama tak jumpa pastinya dia akan sms, menelefon atau ajak makan. Din tinggal di Salak Tinggi, bekerja dengan RISDA Bandar Baru Bangi, Selangor. Berkahwin dengan orang Alor Star, isterinya kini seorang pegawai di jabatan pendidikan.

Ketika makan tengahari yang saya belanja kerana ada sikit rezeki lebih, kami mengambil tempat duduk berhampiran BSN Kompleks UNIKEB. Masalahnya setiap orang yang melalui meja makan kami semuanya menyapa saya dan sudah pasti ada yang saya perlu tegur. Mungkin kerana kerjaya saya sebagai jurufoto di UKM membuatkan ramai yang mengenali saya.

Akhirnya, selepas seorang pensyarah yang duduk semeja kami jadi makan bertiga. Banyak juga topik yang dibincangkan. Oleh kerana Din harus pergi ke Kampung Laut, maka dia meminta izin. Saya pula terus melayan pensyarah tadi. Selang lima minit Din membuat panggilan telefon minta maaf kerana tak sempat bercerita panjang kerana baru dia sedar tempat kami makan tadi tidak sesuai untuk bertemu sahabat lama. Tambahan beliau mengetahui saya baru sahaja pulang dari Brunei maka dia hendak tahu lebih lanjut cerita dari sana. Mungkin Din berhajat ke sana.

Din diantara sahabat lama yang tidak pernah membuat masalah dengan saya. Mungkin jikalau berkecil hati pun kami pendamkan sahaja di dalam hati. Malahan ketika di Kedah 30 tahun lalu, acap kali dia akan datang ke rumah dengan basikal beroda besarnya sambil berpakaian kain batik. Sembang-sembang macamana hendak hidup pada masa hadapan.

Kini gaya hidup kami diteruskan, jikalau terasa rindu kedai makan adalah antara tempat pertemuan kami. Namun kerana kekangan masa maka kami tidak dapat bertemu sekeluarga di rumah. Mungkinkah ini gaya hidup baru orang zaman sekarang?

Namun pada saya kemesraan harus teruskan kerana ia telah lama wujud.

21 Mei 2009

Dia seorang Seniman

Senator Tan Sri Jins Shamsudin nama besar dalam industri perfileman. Lakonannya yang mantap, wajahnya yang kacak membuatkan dia antara seniman yang menjadi ikon dalam dunia perfileman. Allah menentukannya maka dalam usia 73 tahun beliau masih sihat dan petah bercakap. Gaya ia bercakap seperti mana kita menonton lakonannya di layar perak mahupun dalam drama TV.


Ramai peminat mungkin tertanya-tanya bagaimana boleh wujud nama Jins. Menurut Tan Sri Jins, emaknya hendakkan nama Zin, namun ketika ayahnya membuat pendaftaran, polis yang membuat pendaftaran itu tidak boleh menyebut Zin, akhirnya tertulis Jins. Setelah dewasa beliau cuba menyemak nama Zin mengikut tahun kelahirannya. Namun nama Jins sahaja yang ada. Akhirnya nama Jins Shamsudin diterima. Nama Jins bukan nama samaran ia adalah nama sebenar dalam Maykadnya.

Dua hari lepas saya dan rakan-rakan sepejabat berpeluang bertemu dengan beliau ketika menjadi tetamu Pusat Penerbitan UKM. Saya pernah bertemu dengan Jins beberapa kali ketika bertugas merakam gambar dibeberapa lokasi dalam dan luar UKM, namun bertemu dan berbual secara dekat inilah pertama kali.

" Tanpa P Ramlee tiada Jins Shamsudin" itu ungkapan Tan Sri Jins ketika kami berbual di rung tamu pejabat. P Ramlee yang membawa beliau masuk menjadi hero dalam filem Pancadelima. P Ramlee banyak mengajar beliau menjadi pelakon.

"P Ramlee guru saya. Banyak kisah-kisah hidup P Ramlee dalam ingatan saya. Jadi tiada siapa yang mampu menyelami rahsia hidupnya. Baik kisah susah payahnya, kisah percintaannya yang agung" tegas Tan Sri Jins.

Di awal tahun 80an, pernah usaha membuat filem bertajuk P Ramlee menemui kegagalan kerana fakta yang terdapat dalam filem tersebut jauh menyimpang dari kisah asal. Banyak menyentuh kisah-kisah kurang senonoh arwah cuba diketengahkan.

"Ini tidak baik menjatuhkan maruah orang dalam filem!" Tegas Senator Jins.

"Saya, dalam keadaan sekarang masih menaruh harapan untuk menyiapkan dua buah filem, Pasir Salak dan P Ramlee. Saya harus membawa kisah beliau kerana dia guru saya!", kata Tan Sri Jins.

Mungkin kebetulan, ayah Tan Sri Jins meninggal pada tarikh yang sama dengan P Ramlee meninggal. Justeru kerana masalah yang hadapi oleh beliau setelah kematian ayah pengajiannya tergendala di luar negara. Sekarang beliau sedang menyambung pengajian ijazah Phd di Universiti Utara Malaysia.


"Umur saya sudah 73 tahun nak buat apa lagi dengan ijazah itu? Tapi pada saya ia akan menjadi pembakar semangat untuk anak-anak, untuk menunjukkan orang seni juga boleh belajar. Kini sudah ramai orang-orang seni berpelajaran tinggi" sambung Tan Sri Jins.

Dipertemuan yang boleh saya anggap sebagai siri "pengkisahan seniman " itu telah banyak membuahkan kisah-kisah lama beliau. Beliau seronok menceritakan kejayaan penubuhan FINAS, ASWARA hasil cadangan beliau. Menurut Senator Jins lagi, pengiktirafan keatas ASWARA juga merupakan hasil cadangan beliau selaku Senator. Kini nasib anak-anak seni sudah terbela, tidak seperti zaman beliau yang terpaksa belajar sendiri, mencari guru sendiri.

" Jika saya sudah tiada lagi bacalah buku ini (memoirnya) dan lihatlah gambar-gambar ini", demikian pesan Senator Tan Sri Jins Shamsudin ketika hendak meninggalkan kami di foyer Pusat Penerbitan UKM.

Beliau meninggalkan kami dengan memandu kereta mewahnya dan hilang dari pandangan. Saya masih merasakan beliau wujud dalam adengan filem atau drama. Banyak kisah-kisah dicerita kepada saya dan rakan-rakan, namun ada kisah yang beliau diminta tidak diketengahkan kepada umum. Kisah itu menjadi panduan hidup kami.

09 Mei 2009

Hari Ibu.....


Gambar hanya hiasan-oleh Raai


Hari Ibu 10 bulan Mei.

Apakah kerana untuk mengingati ibu kita harus mengadakan Hari Ibu? Pada saya jika untuk mengingati ibu dengan cara mengadakan hari Ibu itu lebih baik dari pada langsung tak ingat ibu. Jangan marahkan orang menyambut Hari Ibu kerana ada orang menyambut Hari Kekasih bagaikan nak "rak". Takkan lah nak sambut Hari Ibu tak boleh.

Yalah, kalau anda setiap hari menyambut Hari Ibu tahniah! Tapi bagaimana anda yang jauh setiap hari anda SMS Ibu, atau lebih hebat telefon ibu? Saya lebih suka andainya kalau di Hari Ibu semua anak-anak yang masih ada ibu balik berjumpa ibu macam balik hari raya!

Atau pada malam Hari Ibu penuh sesak dengan anak-anak dan ibu di mana-mana tempat makan, hotel, restoran, gerai atau di mana sahaja.

Kebetulan Hari Ibu tahun ini (10 Mei 2009) jatuh pada hari Ahad. Namun saya tidak melihat lebuhraya ke selatan tanahair penuh sesak (atau jem) seperti hari-hari perayaan lain. Apakah orang yang ada ibu tidak balik kampung untuk berjumpa ibu?

Saya sudah tiada ibu tetapi kubur ibu ada.

Dan ingatlah ungkapan ini "Kita ada ibu,Ibu kita hanya satu. Kita ada Ibu nasihat Ibu beribu-ribu...."

Sempena Hari Ibu apa kata malam ini kita berhenti merempit di jalanraya, berhenti merokok, berhenti minum arak, berhenti buat maksiat. Kerana ucapan "Selamat Hari Ibu" kepada seorang ibu tidak ada maknanya andainya apa yang ibu harapkan tidak ditunaikan.

Bayangkan lah malam ini Hari Ibu, tapi kita merompak, pecah rumah, patah kaki kerana merempit.

Paling saya pilu apabila seorang Profesor yang pernah menjadi kaunselor di penjara mendapati seorang ibu sanggup mengaku mengedar dadah atas alasan tidak mahu anaknya dipenjarakan. Apa jenis anak ini?

Saya insaf kalau tiada hari Bapa kerana saya faham untuk mengandungkan seorang anak, untuk bersalin seorang anak, untuk membesarkan seorang anak bukan mudah. Kerana ada bapa yang hanya menghantar seorang ibu yang lepas bersalin ke rumah mertua sepanjang tempoh berpantang.

24 April 2009

Menulis dalam blog

Blog satu wadah baharu untuk semua orang. Semasa saya mula-mula membeli komputer pada tahun 1998 saya melihat ramai orang terlibat dalam membangunkan laman web percuma. Ketika itu saya dan ramai orang membangunkan laman web dengan menggunakan tapak web percuma seperti Tripod, Geocities dan berbagai lagi. Orang barat amat bermurah hati memberikan benda percuma namun mereka akan mengiklankan berbagai iklan. Kadang-kadang yang memalukan!

Saya memiliki laman web pertama dengan menggunakan Tripod dan memasukkan nota fotografi yang akhirnya dinamakan Alam Seni Foto. Saya beruntung apabila Universiti Kebangsaan Malaysia membenarkan warganya sama ada akademik atau tidak menggunakan tapak web yang disediakan oleh Pusat Teknologi Maklumat.

Semua orang berbangga apabila memiliki tapak web sendiri kerana ia akan melambangkan kecanggihan berfikir. Memang pun kerana untuk membangunkan laman web seseorang harus faham, mahir menggunakan beberapa perisian untuk "melukis, mengarang" web tersebut.

Di pertengahan perkhidmatan dalam kerjaya sebagai jurufoto saya berdepan dengan teknologi. Mahu tidak mahu saya perlu belajar. Akhirnya dengan kursus-kursus yang dianjurkan oleh UKM maka saya mahir menggunakan Dreemwever Macromedia, PhotoShop. Namun begitu untuk membangunkan laman web dengan menggunakan word dan front page sudah boleh, tapi setelah saya mengenali Macromedia, saya lebih seronok menggunakannya. Berjam-jam saya akan mengadap komputer untuk tujuan tersebut.

Kini kegilaan blog sudah menjadi satu "demam". Mana tidaknya di sana sini orang berbicara pasal blog. Jikalau kita memberitahu kepada rakan-rakan "sila lawat blog saya ". Apa kata mereka, "kau pun ada blog Raai?"


Hai pelik ke seorang yang macam saya memiliki blog? Tentu tidak kan? Kerana anak kecil yang berada di tahun 5 sudah boleh buat blog. Cukup mudah dan mesra pengguna.

Saya menulis blog kerana ada cerita. Saya menulis blog ada gambar untuk dikongsi bersama. Saya menulis blog untuk kepuasan. Saya menulis bukan untuk melepas geram, tetapi meluah perasaan. Andai tulisan saya hanya seorang sahaja yang membaca itu sudah dikira saya berjaya.

Saya ada masa untuk menulis blog. Tidak kiralah pukul 12 tengahmalam ke, 2 pagi atau 5 pagi. Ada waktunya saya tidak tidur malam. Saya menulis untuk kepuasan. Bakat saya dicurahkan untuk cerpen, puisi dan artikel. Saya tidak mencari wang kerana wang boleh dicari cara lain. Saya mencari kepuasan dan ketenangan. Justeru dalam laman blog ini anda boleh lihat apa yang ada.

Saranan saya, mari kita menulis secara bersopan. Mari kita menulis untuk faedah bersama. Bahasa kalau mudah pun jangan sampai tercemar.

Sekarang, bos saya sedang belajar bagaimana membangun blog. Dia sudah berjaya. Saya tabik apabila orang yang sudah pencen mahu membangunkan blog. Seorang lagi ilah Profesor bergelar Dato menghantar emel nak belajar bangunkan blog. Peranan blog memang hebat.

Saya amat suka andainya ramai pesara yang mahu membangunkan blog. Setidak-tidaknya mereka mampu mencurahkan pengalaman lama semasa berkhidmat di perkhidmatan awam atau swasta.
Itu pun cita-cita saya.