Kepada Jururawat

1969: Hospital Sungai Petani, Kedah:

Anak Pak Cik, Mak Cik, kena tahan di wad. itu sahaja yang saya masih ingat apabila doktor di hospital itu selesai memeriksa saya. Badannya panas teruk.

Seingat saya selepas itu saya dimandikan oleh Nurse dengan ketulan air batu, sejuk amat sangat tetapi amat selesa kerana badan saya ketika itu panas. Selepas lapan hari saya keluar namun masih tidak selesa kerana mengidap demam panas yang melampau. Selang tidak berapa lama ayah yang disayangi kembali ke Rahmatollah.

Hospital Bersalin Kuala Lumpur 1991:

"Encik Raai Osman...." laung seorang Nurse dari pintu klinik pemeriksaan ibu mengandung. "Isteri Encik tumpah darah. bawa dia ke wad kecemasan saya ikut sama".

"Maaf, kandungan isteri Encik tak dapat diselamatkan...".

19 November 1991

Hujan diluar cukup lebat, kilat sabung menyabung. Emak makin lemah. Atas pesan doktor aku mengajak Nasir jiranku memandu untuk membawa emak ke HKL. Kata Nasir, hujan lebat KL "jem". Nasir petang itu menjadi pemandu kecemasanku. Entah mengapa di pertengahan jalan, aku minta Nasir bawa emak ke Hospital Kajang.

Kebetulan di hospital Kajang doktor India juga dengan dibantu Jururawat melayu. Emak koma, emak nazak,emak berperang dengan ajalnya. Jururawat meminta aku mengambil air dan basahkan bibir emak. Kalimah Syahdah sejak dari dalam kereta tak putus-putus aku bisikkan ke telinga emak

Doktor mengambil Defibrillatoralat  (terima kasih Emma Azimah yang memberitahu nama alat ini). Terangkat dada emak. "Ahhhh....Allah huakbarr". Selalu adegan itu aku tonton di TV. Kini berlaku di depan mata. Doktor mengelengkan kepala. Jururawat tenang."Dia sudah meninggal..."

Allah maha kaya. Rahmatnya tetap diturunkan untukku. Aku tidak menangis sepanjang hari pengkebumian emak. Benar seperti kataku pada emak "saya akan merawat emak sehingga akhir hayat, kerana saya tidak mahu menyesal di hari kematian mak akibat gagal berusaha merawat emak. Janji Allah kalau mak mati saya tidak akan mengalirkan air mata.

Namun hati mana boleh bertahan, badan mana boleh bertahan. Aku hampir pengsan selepas Imam habis membaca Talkin. Ketika Imam bangun, rakan-rakan bangun. Tinggal aku di hujung kepala emak (pusara) sambil membaca Fatihah dan doa.

Ketika bangun, aku hampir pengsan. Kerana menurut kitab-kitab yang pernah dibaca oleh Ustaz-ustaz dan buku-buku yang pernah aku baca, dua malaikat telah datang memberi salam pada si mati.

Aku menjadi insaf, jasad dan roh emak telah aku serahkan kepada Allah. Dia hanya meminjamkan seorang Ibu buatku untuk melahirkan anak seperti aku. Aku hanya mampu berdoa selagi umur  masih ada.

Jika istilah Anak Yatim Piatu adalah untuk anda, anda bertuah kerana istilah itu akan menguatkan semangat anda. Kerana saya pernah menjadi Anak Yatim sejak berusia 11 tahun (1969). Jika telah datang di hadapan anda seorang Anak Yatim Piatu, anda bertuah kerana ia memberi peluang untuk anda bersedekah dengan pahala yang amat tinggi.

Al-Fatihah  untuk ibu saya, Puteh benti Mat di pusara Kampung Dato Abu Bakar Baginda.

Wad 5D HCTM 2015, 2016, 2017

12.30 tengahari: Pakcik....giliran pakcik dah sampai untuk pergi ke bilik bedah pakai baju ni terbalikkan ke tali ke belakang ye.

2.00 pagi: Pakcik, pakcik, saya nak cucuk tangan ambil darah ye....minta maaf ye.

9.00 pagi: Pakcik saya nak cabut saluran urin ye.....

8.30 malam sekejap lagi kami nak masukkan saluran urin ye.


Ya.....Jururawat anda banyak budi kepada pakcik. Jasamu Allah sahaja yang membalasnya. Tapi ketika mati, mungkin anda tak sempat menziarahi pesakit anda. Tetapi jasamu semua orang tahu. Terima kasih.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita harapkan?

Berakhir sebuah kehidupan

Apa kabar Cikgu?