Penyakit itu ujian Allah kepada kita

Penyakit Itu Ujian Allah Kepada Kita merupakan ungkapan yang kerap disebut oleh ustaz-ustaz dan alim ulama. Namun bagi mereka yang sedang menderita sakit sudah tentu terfikir bagaimana ujian yang dimaksudkan.

Semasa saya diberitahu oleh doktor bahawa Ibu mengidap Leukimia, dunia bagaikan gelap gelita. Masakan tidak, dia ibu yang melahirkan,membesarkan dan memberikan kasih sayang kini mengidap penyakit paling hebat itu.

Saya berada disebelah isteri sewaktu beliau mengalami keguguran anak dalam kandungannya yang berumur lima bulan. Sambil memegang barang miliknya dan tersandar di dinding Hospital Besar Kuala Lumpur ini sahaja ungkapan yang dapat diluahkan kepada anak saudara Radhi "Paksu kehilangan anak hari ini".

Dr Razak mengesahkan isteri saya mengidap sejenis penyakit yang ada kaitan dengan barah. Hati saya dibelenggu gusar.

1999 saya disahkan oleh doktor HUKM (kini Pusat Perubatan UKM) mengidap penyakit yang menyebabkan mata saya jadi kabur. Ada waktunya gelap, ada waktunya saya rasa kabur. Terasa dunia ini akan gelap. Saya sering berulang alik bertemu doktor. Makan ubat staroid untuk memulihkan bengkak mata saya. Ada waktunya berada di klinik HUKM sehingga satu hari untuk menerima rawatan.

Paling menakjubkan setiap kali bertemu doktor, beliau akan mengungkapkan "En. Raai bersabarlah ye. Bertawakallah ye. Banyakkan doa. Kurangkan stres ". Ada waktunya doktor-doktor bagaikan rakan.

Kesabaran usah dipertikaikan. Harapan untuk pulih usah ditanya lagi. Saya lakukan apa yang doktor minta. Makanan tambahan usah ditanya lagi. Sebut saja apa jenis saya akan makan. Buah-buahan, sayur menjadi makanan sebagai ubat!

Saya bongkar rahsia Al Quran, Hadis, jumpa rakan-rakan yang faham mengenai perubatan dengan kaedah bacaan ayat-ayat Al Quran. Banyak buku-buku yang mengaitkan ayat Al Quran saya beli. Saya menemui rahsia Allah. Saya menemui rahsia hadis.

Rahsia Al Fatihah saya temui. Saya membaca sebanyak 41 kali setiap malam. Allah menyahut bacaan Fatihah. Saya menggunakan wirit Nabi Doa Nabi Yunus semasa terperangkap di dalam perut Ikan Nun.“LAA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ DZALIMIIN”(Surah Anbiya’).

Membaca Yasin dan bersolat Hajat adalah rutin saya. Bayangkan saya boleh menggunakan masa untuk Allah sejam atau dua jam ketika itu.

Rupa-rupanya apa yang yang saya lakukan merupakan terapi minda dan fizikal yang paling mujarab. Semua yang saya lakukan adalah terapi keimanan selain menunaikan segala ibadat lain seperti solat wajib, puasa dan sebagainya.

Bayangkan saya membaca Yasin ada waktunya selama satu jam, sudah tentu memakan masa antara satu jam atau lebih. Solat Hajat juga membuatkan saya menghilangkan tumpuan kepada perkara-perkara lain.

Saya menemui kajian seorang saintis bahawa ketika seseorang rukuk dan sujud satu urat di otak akan mencantumkan darah. Sebab itu amat berkat apabila kita rukuk dan sujud dalam jangka waktu yang lama. Sebab itu rukuk dan sujud menjadi lama dalam solat Tasbih.

Kenapa harus mencari kaedah lain untuk menyembuhkan penyakit? Anda bersolat wajib lima waktu kerana tuntutan Allah. Itu fardu ain. Melakukan solat sunat untuk memohon berbagai kehendak adalah satu kaedah yang amat baik dilakukan. Jangan malu dengan Allah untuk meminta dariNya.

Mencari penawar untuk menyembuhkan penyakit dengan kaedah selain Islam tidak baik, haram. Gunakan kaedah Islam. Sebab Allah menurunkan penyakit bersama ubatnya. Pernah saya mendengar "Allah amat rapat dengan hambanya yang berdoa dalam kesusahan".

Kembalilah ke jalan Allah. Pesan saya andainya kita menderita sakit, berusahalah dengan kaedah yang diredai Allah. Jikalau kita mati pun mati kita dalam keimanan. Tidak kufur mahu pun menjadi kafir. Sebab amalan itu yang akan menentukan sempat atau tidak mengucap Syahadah!

*NOTA: Syukur isteri saya kini dalam kawalan Allah dengan penyakit yang dihidapinya. Mata saya juga sudah berbeza jika hendak dibandingkan dengan keadaan pada tahun 1999. Kisah ini untuk menjadi pedoman kepada semua yang beragama Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita harapkan?

Berakhir sebuah kehidupan

Apa kabar Cikgu?