Panggilan telefon penuh bermakna
Petang tadi kira-kira jam 6.30 saya menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak ada dalam memori. Dari kod nombor saya pasti panggilan itu dari utara.
Ketika saya menjawab salam suara dihujung talian begitu mesra menyuruh meneka siapa empunya suara. Seperti biasa saya tidak kenal suara itu.
Akhirnya beliau membahasakana namanya Cikgu Lah. "Cikgu yang orang tak suka sebab selalu merotan murid-murid...."
Saya mengucap syukur panjang apabila itulah guru yang sudah 33 tahun berpisah sejak meninggalkan bangku Sekolah Menengah Kebangsaan Sik pada tahun 1975!
Rupa-rupanya beliau dapat menjejaki saya menerusi coretan memori lama dalam laman Dari Sik ke Bangi di tajuk Jasa Guru . Mulanya agak gusar juga manalah tahu kalau-kalau dalam coretan tersebut saya menghina beliau atau mengutuknya. Namun saya dapat menduga dari riak suaranya Cikgu Lah begitu terharu dengan coretan itu.
Inilah kuasa Allah. Dia mampu menjadikan apa saja dalam membentuk sejarah manusia. Jikalau baik, baiklah. Jikalau jahat itulah akibatnya melupai Allah. Saya terharu dengan panggilan petang tadi kerana Allah menunjukkan kuasanya dan memberikan rahmatnya buat saya. Rupa-rupanya coretan saya itu berbaloi biarpun tidak menerima apa-apa saguhati seperti pernah dilalui ketika menyumbangkan hasil karya kepada mana-mana media cetak.
Saya sempat memberitahu Cikgu Lah bahawa pada minggu depan akan ke utara. Beliau sempat memberikan alamat rumahnya namun apabila melihat kembali pada "clip" telefon bimbit nombornya telah hilang. Saya akan cuba mencari rumahnya berdasarkan teknik penyiasatan yang pernah saya belajar.....
Ulasan