Emak dan kita

Ogos 1991:

Doktor di sebuah klinik swasta meminta aku melihat mata emak. Dia kata mata mak saya putih dan tidak merah.Katanya dia akan membuat satu surat lampiran untuk diserahkan kepada Hospital Kajang.

Dengan pemanduan yang luar biasa tapi masih berhati-hati saya ke Hospital Kajang. Malam itu emak ditahan di Hospital Kajang. Esoknya 4 beg darah dimasukkan ke badan emak. Lusa emak dikelambukan. Kata Jururawat; emak awak kena Denggi Berdarah...!

Setiap hari aku dan isteri menjadikan Hospital Kajang sebagai rumah kedua. Tengahari pergi melawat emak petang selepas balik kerja juga begitu.

Esoknya bila aku sampai, kelambu yang digunakan untuk emak dah ditanggalkan. Jururawat kata emak saya perlu dibawa ke Institut Penyelidikan Perubatan di KL (IMR) untuk mengambil air tulang belakang.

Aku jadi risau. Ramai kawan-kawan yang pernah bekerja di bidang perubatan aku buat rujukan.Kata Kak Mimi isteri temanku, kalau setakat ambil kat tulang punggong tak serius sangat. Akhirnya aku faham. Jururawat dah mula ugut aku kerana masih belum menurunkan tanda tangan untuk membenarkan emak aku dibawa ke IMR.

Selang seminggu aku menerima keputusan bahawa emak mengidap Leukimia. Bagiai nak runtuh langit. Penyakit kronik rupanya yang sedang dialami oleh emak.Aku reda dengan "anugerah Allah". Emak dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bermulalah aku dan isteri menjadikan HKL sebagai rumah kedua selepas Hospital Kajang. Jika anda yang pernah mengalami masalah ini kita boleh merasakan betapa hebatnya dugaan Allah. Di sini kita akan belajar mengenal erti nikmatnya badan yang sihat. bak kata pepatah sakit tangan kanan tangan kiri merasa jua. Emak sakit aku juga merasainya. Emak tidak tahu dia sakit apa. Dia juga tidak pernah bertanya apa sakitnya. Kalau aku beritahu pun dia tidak akan tahu jenis penyakitnya (Leukimia).

Emak cuma tahu dia ada kesan lebam di badan. Katanya dia kena hisap oleh "pelesit". Aku kata bukan. Kalau sesetengah orang sudah tentu sudah jumpa bomoh. Ini sudah tentu menuju ke jalan kurafat!

Acap kali ke HKL 2 atau 3 beg darah akan dimasukkan ke badan emak. Mujurlah aku merupakan penderma darah untuk HKL jadi soal menganti darah tidak timbul. Sejarah aku terus menderma darah sehingga hari ini adalah atas simpati aku kepada orang-orang yang mengidap Leukimia, Hemofelia dan seumpamanya.

Anda yang mungkin pernah berada dalam situasi aku tentu faham masalah orang-orang berpenyakit Leukimia. Mereka mudah marah,letih dan lesu. Makan tidak berselera. Kesan pada badannya pula; rambut gugur dan beruban tiba-tiba, muka pucat,kesan lebam di badan. Demam berterusan hingga 3 minggu.

Hampir empat bulan kami ulang alik ke HKL. Semasa berulang alik itulah aku menghadapi trauma kerana semua pesakit yang berada di kawasan bilik doktor adalah pengidap Leukimia.

Seorang tu Leftenan beranak dua. Usia sekitar 30an masa tu (1991). Dia semacam putus asa. Seorang lagi lelaki melayu, dia kata bila masuk darah baru ke badan, badannya tidak selesa. Maklumlah bukan darah sendiri; katanya.

Menceritakan pengalaman ini bukan bermakna untuk mendakwa aku seorang sahaja mengalami masalah yang berat, anda mungkin pernah demikian. Malah ada seorang yang saya kenali, anaknya lagi teruk mengidap Leukimia. Apa yang penting dalam kisah ini ialah jika ibu,ayah,anak, isteri mengidap sebarang penyakit, sebenarnya kita sendiri akan merasai azanya.

Saudara/i jika sedang mengalami tekanan begini, ingatlah pada Allah. Dekatkan diri dengan Allah. Jikalau yang sakit itu ibu/ayah mertua, bantulah beri sokongan pada suami/isteri anda. Mereka pasti dalam tekanan.Banyak berlaku jika kita biarkan saja akan berlaku pergolakan rumahtangga. Saya berterima kasih kepada isteri yang sama-sama merasai azab ini.

Semasa emak sakit saya rasakan itu dugaan paling hebat.Masih saya ingat sewaktu Dr.Puru (nama penuh lupa) pakar berbangsa India bercuti kerana Depavali, Dr.Jamelah merupakan orang terakhir merawat emak. Saya bertanya beliau ada apa-apa ubat yang boleh meredakan penyakit emak? Beliau dan Jururawat memberitahu ada, tapi faktor umur menyebabkan emak saya tidak boleh diberikan ubat tersebut.

Duniaku gelap. Inilah nilai seorang manusia. Aku pasrah.

19 November 1991

Hujan diluar cukup lebat, kilat sabung menyabung. Emak makin lemah. Atas pesan doktor aku mengajak Nasir jiranku memandu untuk membawa emak ke HKL. Kata Nasir, hujan lebat KL "jem". Nasir petang itu menjadi pemandu kecemasanku. Entah mengapa di pertengahan jalan, aku minta Nasir bawa emak ke Hospital Kajang.

Kebetulan di hospital Kajang doktor India juga dengan dibantu Jururawat melayu. Emak koma, emak nazak,emak berperang dengan ajalnya. Jururawat meminta aku mengambil air dan basahkan bibir emak. Kalimah Syahdah sejak dari dalam kereta tak putus-putus aku bisikkan ke telinga emak

Doktor mengambil Defibrillatoralat  (terima kasih Emma Azimah yang memberitahu nama alat ini). Terangkat dada emak. "Ahhhh....Allah huakbarr". Selalu adegan itu aku tonton di TV. Kini berlaku di depan mata. Doktor mengelengkan kepala. Jururawat tenang."Dia sudah meninggal..."

Allah maha kaya. Rahmatnya tetap diturunkan untukku. Aku tidak menangis sepanjang hari pengkebumian emak. Benar seperti kataku pada emak "saya akan merawat emak sehingga akhir hayat, kerana saya tidak mahu menyesal di hari kematian mak akibat gagal berusaha merawat emak. Janji Allah kalau mak mati saya tidak akan mengalirkan air mata.

Namun hati mana boleh bertahan, badan mana boleh bertahan. Aku hampir pengsan selepas Imam habis membaca Talkin. Ketika Imam bangun, rakan-rakan bangun. Tinggal aku di hujung kepala emak (pusara) sambil membaca Fatihah dan doa.

Ketika bangun, aku hampir pengsan. Kerana menurut kitab-kitab yang pernah dibaca oleh Ustaz-ustaz dan buku-buku yang pernah aku baca, dua malaikat telah datang memberi salam pada si mati.

Aku menjadi insaf, jasad dan roh emak telah aku serahkan kepada Allah. Dia hanya meminjamkan seorang Ibu buatku untuk melahirkan anak seperti aku. Aku hanya mampu berdoa selagi umur  masih ada.

Jika istilah Anak Yatim Piatu adalah untuk anda, anda bertuah kerana istilah itu akan menguatkan semangat anda. Kerana saya pernah menjadi Anak Yatim sejak berusia 11 tahun (1969). Jika telah datang di hadapan anda seorang Anak Yatim Piatu, anda bertuah kerana ia memberi peluang untuk anda bersedekah dengan pahala yang amat tinggi.

Al-Fatihah  untuk ibu saya, Puteh benti Mat di pusara Kampung Dato Abu Bakar Baginda.

*Al Fatihah buat Bonda; Putih bte Mat di Pusara Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kajang.....Amin.

Ulasan

alamfanacinta berkata…
Salam En.Raai..saya menitiskan airmata membaca mengenai kisah ini..
terima kasih ... respon ini.
Unknown berkata…
aku akan berusaha untuk tidak mengecewakan emak dan ayah selagi aku bernyawa

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita harapkan?

Berakhir sebuah kehidupan

Apa kabar Cikgu?