Kembali menyusuri nostalgia
Saya dan isteri bersama puteri bungsu Nur Aqilah tiba di Kampung Guar Jering, Permatang Pauh jam 10.30 pagi setelah memulakan perjalanan dari Bangi jam 4.15 pagi. Melakukan perjalanan lebih 300 km memang memenatkan namun kerana sudah lama tidak ke utara perasaan gembira menjejakkan kaki ke kampung asal ibu membuatkan penat itu hilang begitu sahaja. Dua lagi puteri tidak ikut serta kerana mereka ada kuliah dan peperiksaan di kolej. Berat juga untuk meninggalkan mereka. Namun kuliah mereka lebih penting akhirnya kami membuat MOU agar mereka tidak ikut serta.
Biarpun kampung sebenar ibu saya ialah di Permatang Pasir namun Guar Perahu adalah tempat tinggal arwah Mak Ngah. Saya hadir di sini untuk memenuhi undangan balu sepupu abang Zain yang melangsungkan perkahwinan anak bungsunya.
Sudah tiga belas tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sini bersama keluarga. Jadi dengan kepulangan saya kali ini memberikan kejutan kepada keluarga ibu yang mereka panggil Mak Andak.
Majlis perkahwinan ini merupakan majlis pertama saya datang setelah merantau ke Bangi lebih dua puluh tahun dulu. Mungkin tahun ini rezeki saya lebih maka dapatlah memenuhi undangan tersebut.
Berkumpul di majlis perkahwinan memang menarik kerana boleh bertemu ramai saudara mara sahabat handai. Justeru dengan kehadiran saya memberikan kesempatan yang baik untuk bertemu ramai sepupu yang sudah lama tidak jumpa. Agak lama saya tidak bertemu mereka. Malahan ada yang tidak saya temui kira-kira tiga puluh tahun. Mereka biarpun hanya sepupu namun keakrapan seperti saudara kandung kerana semasa kecil sering berjumpa dan bermain. Disebabkan saya tidak mempunyai adik dan abang (cuma kakak) maka ada diantara sepupu yang begitu mesra seperti adik beradik seibu seayah….
Suatu ketika dulu kami masih kanak-kanak dan remaja, kini kami semua dewasa dan mempunyai anak-anak namun pertemuan ini cukup nostalgik. Kami bertemu dalam suasana masing-masing sesudah ketiadaan ibu dan ayah.
Dengan wujudnya pertemuan ini biarpun hanya pertemuan dikalangan sepupu, tetapi saya merasai kehidupan ini tidak sunyi sebenarnya biarpun saya tidak mempunyai ramai adik beradik kandung.......
Ulasan