Catatan sepanjang Aidilfitri 1426/2005

Aidilfitri 1426 bagi saya agak berbeza dengan sambutan tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini kami (keluarga isteri) kehilangan orang tersayang-Ibu mertua. Kerana tahun ini dia tiada lagi kerana tahun lepas merupakan hari raya terakhir buat kami anak menantu bersamanya. Jangan tanya emak dan ayah saya, kerana saya sudah kehilangan ayah sejak 1969 lagi. Emak saya 1991. Ayah mertua 1992. Setiap tahun setahu saya, saya merupakan orang terawal bersalam dengannya sebelum pergi solat raya! Kerana saya tahu betapa bernilainya seorang ibu, biarpun dia ibu mertuaKu!

Tahun ini juga cukup berkesan bagi saya kerana kesan Tsunami masih menghantui dunia. Ramai anak-anak yatim merenung sayu entah di mana pusara ibu ayah, adik kakak dan abang mereka. Dan paling mneyedihkan mereka juga terus tiada atuk dan nenek!! Kita masih bersyukur walaupun kehilangan orang tersayang, tapi pusara masih ada untuk diziarahi..........

Paling menyayukan nasib mereka yang ditimpa gempa bumi semasa bulan Ramadhan lalu. Ranap semuanya. Yang tinggal hanya esak tangis sahaja.

Belum lagi nasib-nasib anak-anak yatim yang kematian ayah ibu kerana kemalangan jalan raya di musim raya atau sebaliknya.

Dua minggu dan seminggu sebelum Aidilfitri saya terlibat mengendalikan satu kursus untuk staf Jabatan Alam Sekitar Malaysia. 18-20 dan 24-26 Oktober 2005. Pada 20 dan 26 Nov Supretenden Amidon memberi topik kerja-kerja forensit PDRM. Ohhhhh paling menyayat hati apabila beliau membawa kami kembali menyaksikan kes-kes hebat pembunuhan di Malaysia (maaf yer... setakat itu saja identitinya tak boleh bagi tau). Kesannya membawa trauma juga pada saya sehingga kini.....!!!

Justeru semua ini membawa saya gagal untuk bertakbir secara aman sepanjang malam dan sebelum solat Aidilfitri dimasjid Parit Setongkat, Muar. Air mata jadi cukup murah. Kita akui air itu adalah tanda keinsafan dan taubat terhadap Allah.

2 Oktober;
Bangi jam 6.30 pagi merupakan perjalanan musafir kami sekeluarga. Sebelum bertolak saya memberi sedikit tazkirah buat puteri-puteri dan isteri. Selepas bersalaman kami keluar rumah dengan tekad perjalanan kami akan dilindungi Illahi. Perjalanan tenang. Lebuhraya dari Bangi seperti tersenyum, dan ada yang garang. Maklumlah ada beberapa kawasan yang pernah meragut nafas: ayah, emak, adik,kakak,nenek. Malahan saya merasakan perjalanan di lebuhraya ke Tangkak seolah-olah melalui satu perkuburan besar!!!

Pukul 9 pagi kami selamat tiba di Muar. Kak Long mengucap syukur kerana kami sekeluarga selamat tiba di rumahnya. Dialah mengganti ibu. Rumah dialah kami berkampung dua keluarga. Keluarga saya dan adik ipar yang tinggal di Segamat. Persiapan di dapur seperti biasa. Seperti orang lain.

3 Oktober;
Selepas solat saya sekeluarga bersama biras, Ismail mengunjungi pusara ibu mertua. Syahdunya tetap wujud. Maklumlah ini pertama kali mengunjungi pusara ibu mertua sejak dia kembali ke rahmatullah pada 26 Disember 2004 lalu. masih terbayang salam akhir aku tahun lepas. Masih terbayang bagaimana saat-saat akhir aku membaca yasin akhir buatnya. masih terbayang saat-saat akhir keranda masuk ke liang lahat.......Begitu juga sewaktu aku menziarahi pusara ibu kandungku dua hari sebelum Aidilfitri bersama isteri. Saya masih terbayang bagaimana hampir pitam selepas Imam selesai membaca Talkin.

Anda yang pernah merasai semua peristiwa ini merasai semua yang saya rasai. "Nikmatnya yang ada akan kita rasai selepas tiada"

Rutin berhari raya seperti biasa. Rumah abang Isa (ipar), Kak Ngah (ipar) ada lah kunjungan kami. Tidak terkecuali pusara ayah mertua (pusara Jalan Bakri) yang jauh sedikit dengan ibu mertua. (Pusara ayah kandung?: Jauh di Kedah....Sudah dipindahkan tahun 2002 kerana pembinaan Empangan Beris. Kini saya agak sukar untuk mencari kerana berada di pusara baru di Bandar Beris Jaya, Kedah)

Jam 3.30 kami ke rumah Mak Ngah isteri. Dalam perbualan, dia menceritakan yang adik iparnya melamarnya untuk menjadi isterinya selepas kematian isteri selepas Aidilfitri tahun lepas. Dua bulan selepas emak mertua saya meninggal dunia. Ini cerita menganti tikar kata orang melayu. Tapi Mak Ngah tak mahu atas sebab-sebab agak peribadi untuk diceritakan dalam laman ini. Maaf yer.

Magrib kami tiba di Kluang Johor. Rumah yang wajib aku tiba setiap hari raya. Kampung Seri Tambak, Jalan Kluang ke Mersing. 15 Kilometer dari bandar Kluang. Di sinilah kakak saya dan abang ipar menghabiskan usia emas mereka bersama anak-anak dan cucu-cucu. Dia kakak berlainan ayah. Namun kerana satu ibu maka kasih saya pada dia mendalam. Tiada lagi panggilan yang layak untuk perkataan kakak jika bukan untuknya. Dialah kakak yang mengasuh aku semasa kecil sewaktu emak dan ayah pergi menoreh getah. Usia kami jauh sekali. Kakak kawin dengan abang Ahmad tahun 1965 sewaktu aku di darjah satu disebuah sekolah di Sungai Petani Kedah.

Kakak ada tiga anak lelaki. Jadi bila kami datang dia seronok sebab isteri adik ipar tunggalnya. Dia sudah bercucu lapan orang. Dirumah kakak memang menyeronokkan kerana anak-anak saudara hampir sebaya saya. Mereka sudah dewasa dan boleh dibawa berbincang dan berdebat.

Jam 10.30 malam datang seorang rakan abang Ahmad yang bekerja di Penjara Kluang (baru buka). Penjara ini bersempadan dengan kampung Seri Tambak. En Tahir ni orang Sungai Layar Sungai Petani baru berpindah (naik pangkat kot) ke sini. Isterinya masih bekerja di Hospital Sungai Petani. Kerana En Tahir akan pencen dua tahun lagi maka dia tidak mambawa isterinya ke Kluang. Tiga minggu sekali dia balik ke Kedah...........!!!!!@@@@@

Sampai jam 12 tengahmalam kami berbual dengan berbagai cerita semasa,cerita silam, dan cerita dalam penjara yang terpaksa saya off rekod untuk laman ini.

Tahun ini saya tidak bercuti panjang. Rumah kakak hanya semalam saja. Saya tinggalkan mereka jam 6.19 petang 4 November dengan harapan bertemu lagi andai umur dipanjangkan Allah.
5 November
Saya harus balik ke Bangi. Andaian saya jalan mungkin sesak. Tapi sebelum balik kena singgah Segamat rumah adik ipar. Tahun ini kami tak tidur diSegamat. Sebelum ke Segamat kami singgah rumah Tok Mad Kluang (itu gelaran keluarganya kerana dia pernah tinggal kat Kluang). Dia abang ipar Kak Long (kakak ipar saya). Umurnya 90 tahun lebih... Isterinya sudah bongkok. Sejak saya sering singgah rumahnya di Aidilfitri tahun inilah kami tidak menjamah apa-apa kerana tak sampai hati melihat keadaan merka. Makanan mereka cuma anak-anak angkat yang masakkan.
Paling menyayat hati Tok Mad menceritakan kisah anak-anaknya yang memperlakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Habis barang kemas isterinya diambil untuk di "simpan". Barang-barang dalam rumah diambil oleh anak-anak semasa dia dan isteri dibawa oleh anak angkatnya ke Lumut Perak. Paling sedih, ada anaknya yang ingin dia dihantar kerumah orang-orang tua.
Kisah ini sama saja dengan drama-drama melayu yang kita tonton di kaca TV. Menyedihkan saya rupa-rupanya kisah di TV itu tidak menyedarkan anak-anak? Sepanjang saya dirumah itu hanya menjadi pendengar. Saya pilu. Saya sendu. Saya terharu.Saya sedih.Semua seerti dengan perkataan sedih wujud ketika bertamu kerumah itu.
Rumah Tok Mad besar. Jika kat KL nilainya RM250 ribu. Tapi ia tidak bermakna. Dia perjuang bangsa semasa muda. Namun dihujung "nafas" kisah sedih menimpanya.
Halaman ini tidak mampu mengisi kisah sedih itu namun beberapa perenggan sudah mampu untuk memohon anda yang mengabaikan ibu ayah hentikanlah perbuatan itu. Kesannya kepada kehidupan kita amat besar. Saya pernah kehilangan ayah seusia 11 tahun. Saya pernah ada ibu tapi bila dia pergi, rasanya khidmat saya tidak mencukupi. Malahan ketika dia meninggal mahu rasanya memikul sendiri jenazahnya seorang diri. Tapi itu bukan adat manusia bermasyarakat. Mana mungkin mengusung mayat ibu sorang diri sedangkan ramai lagi orang yang boleh membantu!!!!???
Jam 4.30 saya meninggalkan rumah adik ipar di Segamat. Janji saya mahu menziarahi rakan lama yang sudah pencen. Dulu Hj. Othman bertugas di UKM. Sama-sama aktif dalam KESUKMA - Kesatuan Sekerja UKM.
Batang Melaka kami tiba menerusi Gemenceh,Negeri Sembilan. Jalan sesak di Gemenceh maka kami tiba 20 minit lagi jam 7 malam. Dia sebenarnya saya anggap seperti abang. Umurnya 64 tahun. Pengidap penyakit jantung agak kronik. Baru seminggu keluar hospital. Lepas raya nak masuk Institut Jantung Negara KL.
Dia bekas tentera sebelum bertugas di UKM. Ramai juga komunis maut dihujung senjatanya. Nyawanya adalah semangat! Walaupun sudah berusia lanjut namun masih mampu diamanahkan menjadi Pengerusi Rukun Tetangga Batang Melaka. Bekas Imam dan Jurunikah Masjid Batang Melaka. Saya mengandaikan panjang umur beliau kerana kerja amal yang memberikan rahmat dan keberkatan usianya. Kita yang masih muda, harus mencontohi amalan beliau.
Selepas solat Maghrib kami sekeluarga, isterinya berimamkan Hj.Othman Ghani kami betolak balik ke Bangi.
Perjalanan menerusi jalan Segamat-Gemas-Gemenceh-Tampin-Senawang-Bangi mengamik beberapa kisah silam. Kisah jambatan Buloh Kasap,Segamat yang telah di bom semasa perang Jepun masih jelas didepan mata. Kesan jambatan kena bom juga ada di Gemas. Kisah-kisah komunis di dalan itu banyak menghantui benak saya. Kisah isteri terbakar selepas kemalangan jalan raya, kisah kereta masuk gaung.
Seperti diawal tulisan ini saya merasakan perjalanan kami seperti melalui pusara besar. Tidak dapat dinafikan sepanjang perjalanan saya dan keluarga menemui banyak pusara orang-orang Islam dan kubur-kubur bukan islam.
Aidilfitri ini kita menempuhinya. Jika umur panjang masa-masa mendatang kita akan tempuhi lagi. Mungkin roda kita melintasi bekas mayat mangsa? Namun percayalah selagi Allah tidak izinkan maka semuanya tidak akan terjadi.
Andainya suadara/i gusar, mohonlah pada Allah. Berdoalah. Berzikirlah sepanjang perjalanan. Jika kita dijemputNya ketika itu kita pergi bersama Iman, Islam. Dengan harapan mereka yang kita tinggalkan meredai kepergian kita. Jika mereka beriman janji Allah pada mereka adalah ketenangan.
Jam 11.30 malam 5 Nov kami melepasi Tol Bangi dengan jumlah bayaran tol RM40.00 lebih pergi balik. Perjalanan sejumlah 780 kilometer tercatat pada speedometer kereta saya. Jumlah petrol RM117 . Jumlah perbelanjaan itu masih kecil jika dibandingkan dengan ilmu, pengalaman yang saya kutip sepanjang 4 hari 3 malam beraya.
Masih terfikir oleh saya: Masih adakah Ramadhan dan Syawal buat saya tahun depan ? Saya hanya mempu berdoa semasa malam Aidilfitri agar dipanjangkan usia..........
Bangi. 5 Syawal 1426/7 November 2005

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa yang kita harapkan?

Berakhir sebuah kehidupan

Apa kabar Cikgu?